“Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya saja-saja (sia-sia tanpa ada sesuatu hikmah pada penciptaan itu?) dan kamu (menyangka pula) kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu'minun, 115).
JANGAN TINGGALKAN SOLAT TAHAJJUD (QIYAMULLAIL) WALAUPUN KETIKA SEDANG SAKIT.
Dari Abdullah bin Abi Qais, dia mengatakan bahawa Aisyah r.a. berkata kepadanya:
"Jangan pernah meninggalkan qiyamullail kerana Rasulullah S.A.W. tidak pernah meninggalkannya. Apabila sedang sakit atau kepayahan, baginda solat sambil duduk".
Demikianlah Rasulullah S.A.W., walaupun Allah S.W.T. telah mengampuni segala dosa baginda yang telah lalu mahupun yang akan datang. Akan tetapi, baginda tidak pernah meninggalkan qiyamullail (solat malam).
Hal ini menunjukkan kepentingan qiyamullail dan pahalanya yang besar di sisi Allah S.W.T.
Jadi, mengapa kita yang sihat dan kuat tetapi meremehkan dan malas mengerjakan qiyamullail? Padahal, kita mempunyai dosa sebesar gunung.
Kita seharusnya bersegera dan berlumba-lumba mengerjakan qiyamullail kerana kita lebih memerlukan rahmat dan keampunan Allah S.W.T.
Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Pada sebahagian malam hari laksanakanlah solat tahajjud sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Rabbmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji".
(Al-Isra' : 79).
Dari Jahir bin Abdillah r.a. beliau mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Ibu kepada Sulaiman bin Daud berkata kepada Sulaiman: "Wahai anakku, janganlah kamu memperbanyakkan tidur pada waktu malam hari, sebab banyak tidur di malam hari akan menjadikan seseorang lelaki fakir (miskin) pada hari kiamat",
(Hadis riwayat Ibnu Majah dan Al-Baihaqi).