“Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya saja-saja (sia-sia tanpa ada sesuatu hikmah pada penciptaan itu?) dan kamu (menyangka pula) kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu'minun, 115).
TAKUTLAH KEPADA HIMPITAN KUBUR
Hudzaifah berkata, "Bersama Nabi S.A.W., kami pernah mendatangi seorang jenazah. Ketika sampai di kubur, beliau duduk di tepi lubang kubur dan berkali-kali memandang ke dalamnya. Lalu Baginda bersabda, "Di dalamnya, seorang mukmin dihimpit dengan himpitan yang menghancurkan anggota tubuhnya sementara pada kubur orang kafir penuh dengan api neraka".
(Hadis riwayat Ahmad, al-Hakim, at-Tirmidzi dan al-Baihaqi).
Dalam sebuah hadis dari Jabir ibn 'Abdullah disebutkan, "Ketika Sa'ad ibn Mu'adz dikebumikan, Rasulullah bertasbih dan diikuti oleh para sahabat beberapa saat. lalu bertakbir dan juga diikuti oleh mereka. Kemudian mereka bertanya, "Ya Rasulullah, mengapa engkau bertasbih?" Baginda menjawab, "Kubur orang soleh ini telah menghimpit lalu Allah melapangkannya".
(hadis riwayat Ahmad, al-Hakim, at-Tirmidzi, at-Tabrani dan al-Baihaqi)
Abu al-Qasim as Sa'di mengatakan, "Tidak ada seorang pun, baik yang soleh mahupun yang jahat, yang boleh selamat dari himpitan kubur. Namun, ada perbezaan antara himpitan terhadap orang Muslim dengan orang kafir. Bagi orang kafir, himpitan itu berlaku untuk selama-lamanya. Sementara bagi orang Muslim, himpitan itu terjadi pada awal dia diletakkan di dalam kubur. Setelah itu, kuburnya kembali lapang untuknya".
Lebih lanjut dia mengatakan, " Yang dimaksudkan dengan himpitan itu adalah pertemuan antara satu sisi kubur dengan sisi lainnya, sementara si mayat berada di tengah-tengahnya".
At-Tirmidzi mengatakan, "Himpitan itu kerana tidak seorang pun yang meninggal melainkan dia akan merasakan sakit akibat suatu kesalahan, meskipun dia itu sebagai seorang yang soleh. Himpitan tersebut dimaksudkan sebagai balasan untuknya, tetapi setelah itu diberikan rahmat kepadanya. Oleh kerana itu, Sa'ad ibn Mu'adz mendapatkan himpitan kerana dia tidak bersih dari air kencingnya".
Mengenai seorang mukmin yang taat, as-Subki mengatakan, " Dia tidak mendapatkan azab kubur tetapi hanya mendapat himpitan kubur, sehingga dia merasakan ketakutan kerana itu. Hal itu dialaminya kerana dia telah mendapatkan nikmat dari Allah S.W.T. tetapi dia tidak mahu mensyukurinya".
Muhammad at-Taimi, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Abi ad-Dunya, mengatakan bahawa pernah disebut, "Sesunguhnya himpitan kubur itu seperti himpitan seorang ibu kerana dari sanalah seseorang diciptakan, kemudian si anak itu lama menghilang. Setelah kembali kepada ibunya, dia dipeluk seperti pelukan orang tua kepada anaknya yang telah lama hilang. Oleh kerana itu, barangsiapa yang berbuat taat kepada Allah, dia akan dihimpit dengan penuh kelembutan dan belas kasihan. Sementara orang yang berbuat maksiat kepada-Nya, dia akan dihimpit dengan himpitan yang keras kerana murka Allah kepadanya".