“Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya saja-saja (sia-sia tanpa ada sesuatu hikmah pada penciptaan itu?) dan kamu (menyangka pula) kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu'minun, 115).
BAHAYANYA GOLONGAN ANTI HADIS.
Daripada Miqdam bin Ma'dikariba r.a. berkata:
Bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Hampir tiba suatu masa di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadisku, maka ia berkata: "Pegangan kami dan kamu hanyalah kitabullah (al-Quran) sahaja. Apa yang di halalkan oleh al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan". (Kemudia Nabi S.A.W. melanjutkan sabdanya): "Padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah S.A.W. samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah S.W.T."
(Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).
Lelaki yang dimaksudkan di dalam hadis ini ialah seorang yang mengingkari kedudukan Hadis sebagai sumber hukum yang kedua selepas al-Quran.
Ia hanya percaya kepada al-Quran sahaja. Baginya, hadis tidak perlu untuk dijadikan sumber hukum dan tempat rujukan. Golongan ini tidak syak lagi telah terkeluar dari ikatan Agama Islam. Dan pada realitinya seseorang itu tidak akan dapat memahami al-Quran jika tidak merujuk kepada hadis Nabi S.A.W.
Al-Quran banyak menerangkan hal-hal yang besar dan garis panduan umum. Maka Hadislah yang berfungsi untuk memperincikan isi dan kandungan serta kehendak ayat-ayatnya serta menghuraikan dan menerangkan yang musykil.
Oleh kerana itu, syariat tidak akan sempurna kalau hanya dengan al-Quran sahaja, tetapi ia mesti disertai dengan hadis Nabi S.A.W.