HIDAYAH ADALAH SUATU ANUGERAH DARI ALLAH S.W.T.




Pada 6 Desember 1992, Puak pelampau hindu di india telah meruntuhkan masjid Babri yang terletak di Ayodhya, India. Dalam kejadian itu, beberapa orang hindu telah memanjat kubah masjid Babri untuk merobohkannya




Gambar di atas menunjukkan dua orang pemuda berbangsa sikh sedang berdiri di atas kubah masjid Babri, seorang bernama Dharmindar Singh dan seorang lagi bernama Balbir Singh.

Dharmindar Singh telah membuang air kencing di atas kubah masjid Babri semasa sedang merobohkan kubah. Akibatnya dengan izin Allah S.W.T, dia telah menjadi gila dan berkelakuan tidak siuman sehingga susah untuk dikawal oleh ibu bapanya.

Ibu bapa Dharmindar telah berikhtiar sedaya upaya untuk menyembuhkan anaknya yang gila itu tetapi tidak berjaya malah menjadi semakin teruk.

Akhirnya ibu bapa Dharmindar telah membawa anaknya yang gila itu untuk pergi berjumpa dengan seorang ulamak yang terkenal di India iaitu Maulana Kaleem Siddiqi. Mereka menceritakan kisah sebenarnya kepada ulamak tersebut.

Ulamak itu pun terus berdoa kepada Allah S.W.T. untuk menyembuhkan Dharmindar yang gila itu. Akhirnya dengan izin Allah S.W.T, orang gila itu pun sembuh.

Kini Dharmindar telah menjadi seorang Islam yang taat kepada perintah Allah S.W.T. dan namanya telah bertukar menjadi Muhamad Umar.

Balbir Singh pula telah menghadapi berbagai musibah dalam keluarganya sehingga ayahnya sendiri telah memulaukan anaknya. Ayahnya pernah bertanya kepada Balbir singh, "Kenapa awak merobohkan rumah tuhan?". Itu adalah perkataan terakhir ayahnya sebelum meninggal dunia.

Akhirnya Balbir Singh telah mendapat ilham untuk berjumpa dengan ulamak Maulana Kaleem Siddiqi dan kini Balbir Singh telahpun menjadi seorang Islam dan namanya bertukar menjadi Muhamad Amir.

Muhamad Umar dan Muhamad Amir kini telah menjadi pendakwah yang sedang giat menyebarkan islam.


Muhamad Amir (Balbir Singh)

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah pertunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit- sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman"
(Surah Al-An'aam: ayat 125)


TAKUTLAH KEPADA ALLAH S.W.T. WALAUPUN KETIKA MANUSIA TIDAK MELIHATMU



Allah S.W.T berfirman (yang bermaksud):
"Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar."
(Surah: Al-Mulk, ayat 12).

As-Syekh Majdi Muhammad As-Shahwi menceritakan tentang seorang hamba Allah yang bernama Abu Bakar Al-Miski yang soleh yang takut kepada Allah walaupun ketika tidak dilihat orang.

Dikatakan kepada Abu Bakar Al-Miski:
"Sesungguhnya kami sentiasa mencium bau wangian kasturi darimu, maka apakah sebabnya?".

Abu Bakar berkata:
"Demi Allah, sudah bertahun-tahun aku tidak menggunakan haruman kasturi itu, tetapi badanku tetap mengeluarkan baunya ialah disebabkan:  Ada seorang perempuan telah memperdayakan aku sehingga aku masuk ke dalam rumahnya, lalu ditutup semua pintu dan dia mengajak aku berzina, maka aku terkejut kehairanan dan cuba memikirkan cara untuk mengelak darinya".

Maka aku berkata kepadanya: "Aku hendak ke tandas untuk menunaikan hajat". 

Lalu perempuan itu menyuruh hambanya mengawasiku ke tempat menunaikan hajat. Apabila aku masuk ke tandas lalu aku membuang air besar dan selepas itu aku mengambil najisku sendiri lalu aku melumurkannya di seluruh badanku, kemudian aku kembali menemuinya dalam keadaan berlumuran dengan najis dan busuk.

Maka perempuan itu terkejut apabila melihatku, lalu memerintahkan hambanya untuk menghalauku dari rumahnya. Aku pun pulang ke rumah dan terus mandi. Apabila aku tidur pada malam tersebut lalu aku bermimpi, seseorang telah berkata kepadaku:

"Kamu telah melakukan satu amalan yang orang lain tidak akan melakukannya, nescaya Allah akan mengharumkan bau badan kamu di dunia dan juga di akhirat".

Maka apabila aku bangun pagi keesokan harinya, aku dapati tubuhku mengeluarkan haruman kasturi sehingga sekarang."

Wahai hamba Allah, berjaga-jagalah dan berhati-hatilah daripada melakukan maksiat yang sembunyi-sembunyi sebagaimana kamu berjaga-jaga dan berhati-hati daripada melakukan maksiat yang terang-terangan.

Justeru itu semua perbuatan yang kita lakukan tidak ada bezanya di sisi Allah, kerana Allah S.W.T. itu Maha Melihat dan Maha Mengetahui akan segala isi hati yang terkandung di dalam dada.


KESAKITAN SAKARATUL MAUT



Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Sesungguhnya mati itu adalah amat pedih umpama ditetak dengan pedang beberapa kali atau digergaji dengan gergaji atau umpama dipotong dengan gunting beberapa kali guntingan".
(Riwayat Abu Na'im).


MAKHLUK AJAIB YANG TERSEMBUNYI DI BAWAH BATU SALJI YANG TEBAL.



Antartika merupakan tempat yang paling sejuk di bumi dan dipenuhi oleh berbagai makhluk-makhluk ciptaan Allah S.W.T.

Makhluk yang paling utama di Antartika ialah burung Penguin, anjing laut dan berbagai lagi.

Tetapi tahukah anda bahawa di bawah lapisan salji yang tebal itu iaitu kira-kira 800 meter ke bawah, terdapat  hampir 4000 jenis organisma-organisma kecil yang hidup tanpa mendapat cahaya matahari sejak berjuta-juta tahun. 




Para saintis telah berjaya membuat kajian di Tasik Whillans, yang terletak 800 meter di bawah aras salji di Antartika Barat dan mereka menemui bukti yang kukuh bahawa memang terdapat organisma-organisma kecil hidup disitu.

Siapakah yang mencipta dan memberi rezeki kepada organisma-organisma itu?

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
Sesungguhnya Allah, Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhluknya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.”
(Adz-Dzaariyaat: 58)

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia di simpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”
(Hud: 6)