TAKUTLAH KEPADA ALLAH S.W.T. WALAUPUN KETIKA MANUSIA TIDAK MELIHATMU



Allah S.W.T berfirman (yang bermaksud):
"Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar."
(Surah: Al-Mulk, ayat 12).

As-Syekh Majdi Muhammad As-Shahwi menceritakan tentang seorang hamba Allah yang bernama Abu Bakar Al-Miski yang soleh yang takut kepada Allah walaupun ketika tidak dilihat orang.

Dikatakan kepada Abu Bakar Al-Miski:
"Sesungguhnya kami sentiasa mencium bau wangian kasturi darimu, maka apakah sebabnya?".

Abu Bakar berkata:
"Demi Allah, sudah bertahun-tahun aku tidak menggunakan haruman kasturi itu, tetapi badanku tetap mengeluarkan baunya ialah disebabkan:  Ada seorang perempuan telah memperdayakan aku sehingga aku masuk ke dalam rumahnya, lalu ditutup semua pintu dan dia mengajak aku berzina, maka aku terkejut kehairanan dan cuba memikirkan cara untuk mengelak darinya".

Maka aku berkata kepadanya: "Aku hendak ke tandas untuk menunaikan hajat". 

Lalu perempuan itu menyuruh hambanya mengawasiku ke tempat menunaikan hajat. Apabila aku masuk ke tandas lalu aku membuang air besar dan selepas itu aku mengambil najisku sendiri lalu aku melumurkannya di seluruh badanku, kemudian aku kembali menemuinya dalam keadaan berlumuran dengan najis dan busuk.

Maka perempuan itu terkejut apabila melihatku, lalu memerintahkan hambanya untuk menghalauku dari rumahnya. Aku pun pulang ke rumah dan terus mandi. Apabila aku tidur pada malam tersebut lalu aku bermimpi, seseorang telah berkata kepadaku:

"Kamu telah melakukan satu amalan yang orang lain tidak akan melakukannya, nescaya Allah akan mengharumkan bau badan kamu di dunia dan juga di akhirat".

Maka apabila aku bangun pagi keesokan harinya, aku dapati tubuhku mengeluarkan haruman kasturi sehingga sekarang."

Wahai hamba Allah, berjaga-jagalah dan berhati-hatilah daripada melakukan maksiat yang sembunyi-sembunyi sebagaimana kamu berjaga-jaga dan berhati-hati daripada melakukan maksiat yang terang-terangan.

Justeru itu semua perbuatan yang kita lakukan tidak ada bezanya di sisi Allah, kerana Allah S.W.T. itu Maha Melihat dan Maha Mengetahui akan segala isi hati yang terkandung di dalam dada.