MEMBUAT MAKSIAT TETAPI BERCITA-CITA UNTUK MENDAPAT PENGAMPUNAN DARI ALLAH S.W.T.



Jika anda berdosa, tetapi tidak segera bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat, malah anda mengharapkan pula agar Allah mengampunkanmu. Kemudian anda malas pula beramal saleh, sentiasa sibuk dengan urusan dunia sepanjang masa, lalu anda bercita-cita bahawa Allah S.W.T. akan memuliakanmu dan mengangkat darjatmu di dalam syurga bersama-sama orang-orang yang berbuat amal saleh, maka nyatalah bahawa anda adalah seorang yang berangan-angan kosong dan terpedaya.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Apakah orang-orang yang membuat kejahatan itu menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh, yaitu sama antara kehidupan dan kematian mereka? Amat buruklah apa yang mereka sangka itu."
(Al-Jatsiah: 21).

Ketahuilah, bahawa orang yang berangan-angan kosong, lagi terpedaya oleh hawa nafsunya tidak punya apa-apa alasan sama sekali. Sekiranya dia berkata: "Sesungguhnya Allah S.W.T. tiada menjadi mudharat dengan dosaku, atau beroleh manfaat dengan ketaatanku. Dia adalah Kaya dan tidak berhajat kepada amalanku". 

Jawabnya memang benar, akan tetapi dosa-dosa itu akan mendatangkan mudharat kepada anda manakala ketaatan akan mendatangkan manfaat kepada anda, sedangkan anda adalah seorang fakir yang sangat berhajat kepada amal saleh.

Al-Hassan Al-Basri r.t. berkata:
"Sesungguhnya mencita-citakan pengampunan itu telah memperdaya banyak orang, sehingga mereka meninggalkan dunia ini dalam keadaan muflis".
Yakni tiada mempunyai bekalan amal sama sekali.

Al-Hassan Al-Basri r.t. berkata:
"Sesungguhnya orang Mukmin itu berbakti seraya gementar terhadap Allah S.W.T., manakala seorang Munafik pula membuat kejahatan seraya merasa aman dan sentosa sepanjang masa".

Sepatutnya sifat takut itu lebih layak disifati oleh orang yang membuat kesalahan, kerana dikhuatiri akan ditimpa kemurkaan Allah. Tetapi kini ia merasa aman dan sentosa, kerana hatinya telah terbalik dan mata hatinya telah buta.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
".....Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya."
(Al-Kahfi: 17).

Ya Allah! Ya Tuhanku! Berikanlah kami petunjuk, dan pimpinlah kami ke jalan yang Engkau cintai dan ridhai. Sebenarnya kami telah menyerahkan diri kami kepadaMu. Wafatkanlah kami sebagai orang-orang Muslimin serta golongkanlah kami bersama-sama orang-orang salihin!