JANGANLAH BERPUTUS ASA DARI RAHMAT ALLAH S.W.T.



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Nabi Ibrahim berkata: "Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat".
(Surah Al-Hijr: ayat 56).

Sifat putus asa dengan sebab berlakunya maksiat boleh menghalang seseorang daripada mencapai istiqamah bersama Tuhannya. Sebaliknya dia hendaklah segera bertaubat kepada Allah S.W.T. dengan penuh kesal dan berazam untuk tidak kembali kepada maksiat itu lagi.

Adapun hati orang yang beriman dan berhubung rapat dengan Allah S.W.T. yang Maha Penyayang, tidak akan berputus asa, biarpun dahsyatnya dia dikepung kesusahan, biarpun hebatnya malapetaka menghitam di sekelilingnya, biarpun mendungnya suasana di sekitarnya, dan biarpun samarnya harapan dalam kegelapan yang menyelubungi, kerana rahmat Allah S.W.T. amat dekat kepada hati orang yang beriman dan mendapat hidayah-Nya.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Surah Az-Zumar: ayat 53).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sayyidina Anas bin Malik r.a, bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
"Setiap anak Adam banyak melakukan kesalahan. Sebaik baik orang yang banyak melakukan kesalahan ialah orang yang banyak bertaubat".
(Riwayat Imam Ahmad, al-Tirmizi, al-Baihaqi, al-Hakim).

Syeikh Ibn Ajibah berkata:
"Apabila sesuatu dosa terjatuh daripadamu, maka janganlah dosa itu menjadi sebab kamu putus asa daripada terhasilnya istiqamah bersama Tuhanmu (selepas dosa itu). Boleh jadi, ia dosa terakhirnya yang ditakdirkan ke atasmu".