Daripada Ibnu Abbas R.A daripada Nabi SAW ia bersabda :" Dan barangsiapa yang beriktikaf satu hari kerana menuntut keredhaan Allah, nescaya Allah jadikan di antaranya dan di antara api neraka (berjauhan) tiga buah parit, di mana jarak di antara tiap-tiap satu parit lebih jauh daripada jarak antara dua mata angin". (Dikeluarkan oleh At-Tabrani dan Al-Hakim, ia berkata : Sohih Al-Isnad (At-targhib wa At-tarhib 2/149 – 150)Di antara hikmah dan tujuan iktikaf ialah :1. Meluangkan diri daripada kesibukan dunia dan anak isteri, demi mencari kejernihan jiwa dan membina kekuatan sebagai bekalan jentera dalam melancarkan kegiatan hidup secara lebih baik. (Syarah Sohih Muslim 8/69, Bada’i As-Sona’i li Al-Kasani 1/107)
2. Kalaulah Ramadhan merupakan sebulan ujian yang penuh dengan rahmat bagi masa setahun, maka iktikaf pada sepuluh hari akhir Ramadhan adalah beberapa hari yang merupakan ujian khas yang lebih tinggi kepada orang-orang yang telah berjaya menempuh ujian Ramadhan secara umumnya, untuk mendapatkan kejayaan khusus yang lebih cemerlang.
3. Berusaha untuk mendapatkan Lailatul Qadar menurut sunnah Rasulullah SAW.
Marilah kita sama-sama membawa diri kita dan keluarga kita untuk mengurung diri beriktikaf dalam sebaik-baik tempat di bumi Allah ini, iaitu masjid, dan di waktu yang sebaik-baik, iaitu sepuluh akhir Ramadhan … kerana menyahuti dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW.Daripada Siti Aisyah RA, ia berkata : "Adalah Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir daripada bulan Ramadhan, bersungguh-sungguhlah baginda pada mengerjakan ibadat (dengan meninggalkan tidur dengan isterinya), baginda menghidupkan malamnya dan menggerakkan isteri-isterinya, (supaya bangkit beribadat bersama-samanya)". (Muttafaq ‘Alaih : Sohih Al-Bukhari 2/255, Muslim 2/832)
Subhannallah !!! Hairan sekali kepada umat Islam yang telah mendapat kurniaan rezeki Allah SWT secara melimpah ruah, kesihatan badan yang segar bugar, waktu yang cukup lapang dan keadaan yang cukup mengizinkan. Tetapi, pada waktu yang sama, mereka tidak juga beriktikaf !!!. Sedangkan Rasulullah SAW telah menyeru, mengajak dan menekan untuk beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan … bahkan dalam kesibukan kerja yang penuh – Baginda tetap beramal dengan amalan yang tidak hanya menjadi Qudwah sekadar sekali gus … tetapi berkekalan sehingga diwafat oleh Allah S.W.T.
Daripada Anas b. Malik r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiga perkara mengiringi jenazah; dua daripadanya akan kembali manakala hanya satu akan tinggal bersamanya. Yang mengikutinya ke kubur ialah kaum kerabatnya, hartanya dan amalan-amalannya. Kaum kerabatnya dan hartanya akan pulang; hanya amalan yang tinggal bersamanya".(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Rasululullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya liang kubur adalah awal perjalanan akhirat. Jika seseorang selamat dari (siksaan) nya maka perjalanan selanjutnya akan lebih mudah. Namun jika ia tidak selamat dari (siksaan)nya maka (siksaan) selanjutnya akan lebih kejam.” (HR. Tirmidzi)
Dua perkara penting yang dapat menyelamatkan manusia di alam Barzakah ialah akidah dan amalan, terutamanya amalan sembahyang yang mencukupi. Manusia akan dibangkitkan semula mengikut akidah semasa mereka dimatikan.
Allah S.W.T berfirman, "Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri) dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya." (Ibrahim: 27)
Dalam satu riwayat disebut, Apabila seseorang sembahyang dengan tama’ninah, setelah selesai sembahyang keluarlah cahaya putih lalu berdoa “Semoga Allah selamatkan kamu sebagaimana kamu selamatkan aku”. Apabila seseorang itu sembahyang tanpa tama’ninah, setelah selesai sembahyang keluarlah cahaya hitam lalu berdoa “Semoga Allah mensia-siakan kamu sebagaimana kamu mensia-siakan aku”.
Selepas sessi soal jawab di dalam kubur oleh Malaikat Mungkar dan Nakir, sembahyang yang cantik akan menjelma dalam bentuk lembaga yang cantik rupanya dan bercakap dengan bahasa yang baik. Lalu simati bertanya “Siapakah kamu ini, sungguh cantik rupamu?” Lalu jawab lembaga itu “Akulah sembahyang kamu”
Sembahyang yang buruk pula akan menjelma dalam bentuk lembaga yang sangat hodoh rupanya dan bercakap dengan bahasa yang kasar. Lalu simati bertanya “Siapakah kamu ini, sungguh hodoh rupamu?” Lalu jawab lembaga itu “Akulah sembahyang kamu”
Setelah sesi soal jawab dua Malaikat itu berkata kepada ahli syurga: “Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan dari tidurnya melainkan sekasih-kasih ahlinya". Demikianlah halnya sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat baringnya itu.
Rasulullah S.A.W bersabda, ”Malulah kepada Allah dengan sebenar-benarnya.” Para sahabat menjawab, ”Wahai Nabi Allah, kami memang malu kepada Allah dan sentiasa memuji-Nya.” Nabi bersabda, ”Bukan begitu yang saya maksudkan. Tetapi, orang yang malu kepada Allah dengan sebenar-benarnya mestilah menjaga kepala dan fikiran yang terkandung di dalamnya. Hendaklah juga menjaga perut dan apa yang dikumpulkan di dalamnya, dan hendaknya dia mengingati maut dan bencana yang akan menimpanya. Siapa yang menginginkan akhirat, maka dia mesti sanggup meninggalkan kegemerlapan hiasan dunia.” (Riwayat Imam At-Tirmizi)
Rasulullah S.A.W selalu berusaha memahamkan para sahabatnya tentang hakikat malu kerana malu merupakan salah satu sifat mulia dan terpuji. Bahkan, ia merupakan teras keimanan. Sabdanya,”Tidak ada iman bagi orang yang tidak punya malu.”
Untuk memupuk dan memelihara rasa malu yang positif, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian, umpamanya;
[1] Menjaga kepala dan fikiran. Maksudnya adalah menjaga seluruh deria atau pancaindra yang dikendalikan oleh kepala. Ia tidak mempergunakan pancaindra itu kecuali dalam perkara dan urusan yang diredhai Allah Ta’ala. Fikirannya tidak akan digunakan untuk mencetus idea-idea yang menjurus kepada maksiat. Matanya tidak akan digunakan untuk melihat aurat atau apa jua larangan Allah Ta’ala. Telingganya tidak akan digunakan untuk mendengar gosip, umpatan atau perkara-perkara yang sia-sia dan melalaikan seperti muzik dan nyanyian. Mulutnya tidak akan digunakan untuk berdusta, mengumpat, mencela, menfitnah, menyanyi dan seumpamanya.
[2] Menjaga perut dan isinya, ertinya ia tidak memakan sesuatu kecuali yang halal kerana itulah yang diperintahkan Allah Ta’ala dalam firman-Nya :‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu.” (Al-Baqarah : 172)
Makanan yang tidak halal yang masuk ke dalam perut akan mengakibatkan kerosakkan pada hati. Bahkan akan meningkatkan nafsu serakah untuk melakukan perbuatan hina dan keji.
[3] Mengingati mati dan kehancuran tubuh setelah mati serta membayangkan kematian selalu ada di depan mata. Rasulullah S.A.W bersabda,”Perbanyaklah mengingati si pemusnah kenikmatan, iaitu kematian.” (Riwayat Imam At-Tirmizi).
Mungkinkah seorang yang sentiasa mengingati mati melakukan larangan Allah Ta’ala? Umpamanya seorang wanita yang menyedari hakikat bahawa lambat-laun ia pasti akan mati dan tubuh badan akan hancur bercampur tanah, pastinya tidak akan menyalah-gunakan kecantikan atau kejelitaan dirinya, kerana segala kecantikkan dan kejelitaan itu akan berakhir apabila maut datang kepadanya. Tambahan pula ia yakin bahawa jika ia tidak menutup auratnya, jika ia tidak menjaga batas pergaulannya, jika ia tidak menjauhi perbuatan maksiat, pastinya nanti apabila ia bersemadi berseorang di dalam liang lahad, berbagai azab seksaan yang amat berat sedang menantinya di sana. Ia sentiasa menyedari bahawa tubuh badannya yang lemah, kejelitaan yang sementara dan apa jua kelebihannya di dunia ini tidak akan berupaya mengurangkan atau menghilangkan kesakitan yang bakal ditanggung di alam Barzakh.
[4] Meninggalkan perhiasan dunia. Ertinya, ia tidak terperdaya oleh janji-janji manis dunia, sehingga ia tidak disibukkan oleh hal-hal itu dari mengingati Allah Ta’ala dan akhirat yang merupakan tempat kembalinya.
Allah Ta’ala berfirman:”Maka, janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu. Dan janganlah penipu (syaitan) memperdaya kamu terhadap Allah.” (Luqman: 33)
Abu Hurairah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW bagaimana caranya malu kepada Allah itu? Lalu Rasulullah SAW menjawab,“Kamu berasa malu denganNya, sebagaimana kamu berasa malu dengan lelaki yang soleh dalam kalangan kamu.”
Sememangnya apabila berhadapan dengan orang yang lebih alim dan soleh, kita akan automatik berasa malu untuk melakukan perkara-perkara mungkar. Di hadapan naqib kita, bolehkah kita bermesra dan bergurau senda dengan wanita yang bukan muhrim? Di hadapan ustaz atau ustazah, bolehkah kita membuang sampah sesuka hati? Apabila bersama dengan sahabat yang soleh, bolehkah kita melewat-lewatkan solat kita dan membiarkan dia solat seorang diri?
Inilah yang dikatakan malu pada orang soleh. Kita malu untuk jadi diri sendiri yang banyak dosa dan kekurangan. Kita malu untuk berkelakuan kurang sopan dan melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat Islam. Inilah asas kita untuk membentuk sifat malu pada Allah SWT. Rabb yang menciptakan kita semua. Kalau kita malu untuk melanggar perintahNya di hadapan orang-orang soleh, kita harus lebih-lebih lagi malu untuk melanggarinya sewaktu bersendirian. Kerana Rasulullah SAW sendiri mengatakan malu pada Allah itu ibarat malu pada orang yang paling soleh di kalangan kita.
Malulah kita pada diri kita sendiri apabila kita mampu untuk malu pada orang alim, tetapi tidak mampu untuk malu pada Allah SWT. Malulah kita pada diri kita sendiri jika kita hanya mampu untuk taat padaNya dihadapan hambaNya yang lain, tetapi tidak mampu untuk taat ketika bersendirian.