7 SEKATAN KETIKA MELALUI TITIAN SIRAT.



Antara perkara yang mesti diimani oleh setiap orang mukmin adalah mengenai "Sirat" atau titian yang merentangi neraka jahannam menuju ke syurga.

Tiada seorang pun yang terkecuali daripada melalui titian tersebut, iaitu sebuah jambatan yang lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada mata pedang.



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Dan tidak ada seorang daripadamu, melainkan mendatangi neraka itu, hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan".
(Maryam: 71).



Ayat tersebut dengan jelas mengatakan bahawa setiap orang mesti mendekati neraka, maksudnya melintasi titian yang merentangi neraka jahannam, sama ada para Rasul, Nabi-nabi dan juga umat manusia biasa.

Kejayaan meniti jambatan tersebut bererti kejayaan yang paling agung untuk menusia menuju destinasi terakhir iaitu syurga.

Manusia akan terpegun dan gementar apabila berdepan dengan titian yang amat luar biasa itu. Secara zahirnya, tidak ada orang yang mampu menyeberangi sebuah jambatan yang begitu halus serta amat tajam pula, ditambah pula bahang api neraka yang begitu panas.



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang bertakwa dan membiarkan orang-orang yang zalim (jatuh) dalam neraka dalam keadaan berlutut".
(Maryam: 72).



Orang yang selamat menyeberangi titian tersebut bukanlah atas kebijaksanaan mereka, tetapi Allah S.W.T. yang menyelamatkan mereka berasaskan keimanan dan ketakwaan mereka.

Tidak akan lalu seseorang di atas "Sirat" kecuali mereka akan menghadapi 7 sekatan dan setiap sekatan ada soalan-soalan dan pemeriksaan yang terpaksa dilalui oleh manusia.

Sekatan 1

Manusia akan diperiksa mengenai Syahadah mereka. Adakah mereka beriman dengan Allah S.W.T. dan Rasul-Nya sebagaimana dalam ucapan Syahadah mereka.

Sekatan 2

Manusia akan diperiksa tentang solat mereka. Sekiranya solat mereka dilaksanakan dengan sempurna mengikut rukun dan syarat-syaratnya serta khusyuk hati mereka mengingati Allah S.W.T. tanpa lalai dan sebagainya, maka mereka dibenarkan meneruskan perjalanan.

Sekatan 3

Diperiksa ibadah puasa. Mereka akan dibenarkan meneruskan perjalanan hanya setelah didapati ibadah puasanya memenuhi syarat rukun serta tidak dirosakkan dengan perkara yang membatalkan atau merosakkan pahala puasa.

Sekatan 4

Diperiksa mengenai amal zakat. Adakah mereka mengeluarkan zakat apabila mereka mempunyai harta yang wajib dikeluarkan zakatnya. Jika lulus, mereka dibenarkan meneruskan perjalanan.

Sekatan 5

Diperiksa mengenai ibadah Haji. Sekiranya mereka mempunyai wang yang mencukupi dan syarat-syarat lain dapat dipenuhi tetapi mereka masih juga menangguhkan pemergian untuk menunaikan ibadah haji, nescaya akan menjadi halangan ketika berada pada sekatan yang kelima.

Sekatan 6

Diperiksa mengenai ibadah wuduk dan juga mandi wajib. Wuduk merupakan satu kaedah untuk menyucikan hadas kecil untuk membolehkan seseorang itu menunaikan solat. Soal mandi wajib juga menjadi syarat utama seseorang untuk melakukan ibadah kerana orang yang dalam hadas besar tidak boleh melakukan solat, membaca Al-Quran dan sebagainya.

Sekatan 7

Sekatan terakhir akan dihadapkan dengan soalan dan pemeriksaan yang paling berat, iaitu akan ditanya sama ada mereka ada melakukan kezaliman terhadap sesama manusia. 

Sekiranya pemeriksaan pada sekatan ketujuh ini gagal dilalui, alangkah malang nasib seseorang iaitu apabila segala-galanya musnah di peringkat akhir. Walaupun 6 daripada sekatan itu telah berjaya dilalui, tetapi terhalang ketika kedudukan syurga telah hampir dicapainya.

Tidak ada orang yang boleh menyembunyikan kezaliman yang dilakukan terhadap seseorang lain kerana semua anggota badan akan membuat pengakuan terbuka. 

Dengan itu, lidah menjadi kelu dan tidak mungkin boleh berdusta untuk menyembunyikan kezaliman yang telah dilakukan oleh mereka.

1 HARI DALAM NERAKA ADALAH BERSAMAAN DENGAN 50,000 TAHUN.



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Dalam satu hari yang kadarnya lima puluh ribu tahun".
(al-Ma'arij: 4).

Ini bermakna, andainya hukuman terhadap orang yang diazab dalam neraka itu dijalankan dalam satu hari ukuran Akhirat, bererti ia terpaksa menjalani hukuman selama 50,000 tahun.

Bayangkanlah sekiranya seseorang itu menjalani hukuman seribu tahun Akhirat, sedangkan setahun itu mempunyai 366 hari dan setiap hari pula bersamaan dengan 50,000 tahun.

Jika manusia tidak berasa gerun dengan ancaman azab neraka dan jarak masa sesuatu hukuman yang mesti dijalani oleh orang-orang yang berdosa, maka tidak ada apa-apa yang boleh menyedarkan mereka sehingga mereka bertemu dengan hari Akhirat itu sendiri.

"Ya Allah, lindungilah kami daripada azab api neraka".


TIDAK ADA SESUATUPUN YANG SETARA DENGAN ALLAH S.W.T.



Daripada Ubai bin Ka'ab r.a., 

Orang-orang musyrik berkata kepada Nabi S.A.W:
"Cubalah kamu lukiskan untuk kami Tuhanmu itu".

Maka turunlah ayat berikut:

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Katakanlah (Wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tidak beranak dan Ia tidak pula diperanakkan; Dan tidak ada sesuatu pun yang setara denganNya"
(Al-Ikhlas: 1-4).

Sesungguhnya orang-orang musyrik itu memandang kepada Allah dengan  akal mereka yang sempit dan mereka bandingkan wujudNya yang mutlak dengan wujud manusia yang terbatas hingga menurut sangkaan mereka Dia (Tuhan) mempunyai permulaan.

Padahal keadaan tidaklah sedemikian kerana wujudnya kita mempunyai permulaan. Manakala wujudnya Allah S.W.T. tidak ada permulaannya.