PENTINGNYA SOLAT SUBUH BERJAMAAH


Solat subuh merupakan pengukur nilai sebuah umat. Umat yang melalaikan solat subuh berjamaah adalah umat yang tidak berhak untuk mendapat kejayaan, akan tetapi berhak untuk digantikan dengan umat yang lain.
Umat ynag menjaga solat Subuh secara berjamaah adalah umat yang berhak untuk tegak kukuh di muka bumi.

Pernah salah seorang pemimpin Yahudi menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali pada satu hal, iaitu bila jumlah jamaah solat Subuh menyamai jumlah jamaah solat Jumaat. (Insya Allah akan menjadi satu kenyataan dalam masa yang terdekat).

Sabda Rasulullah S.A.W, "Sesungguhnya solat yang paling berat untuk orang munafik adalah solat isyak dan solat subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung didalamnya, nescaya mereka akan datang kepada keduanya sekalipun dalam keadaan merangkak." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Dari Uthman Bin Affan r.a berkata, Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud, "Barangsiapa yang solat isyak berjamaah maka seakan-akan dia telah solat sunat setengah malam. Dan barangsiapa solat subuh secara berjamaah maka seakan-akan dia telah melaksanakan solat malam satu malam yang penuh." (Hadis riwayat Muslim).

Allah S.W.T berfirman: "Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) Subuh. Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan Malaikat. Dan pada sebahagian malam hari solat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Rabbmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji......" (al-Isra' : 78 - 79).

TUNDUKKANLAH PANDANGAN MATA


Firman Allah s.w.t maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan".

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya". (Surah an-Nur ayat 30-31)

MASUK SYURGA HANYA DENGAN RAHMAT ALLAH S.W.T


Dari jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: ”Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka. ” (Riwayat Muslim)

Allah S.W.T. berfirman: "..bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat". (Al-Hujuraat: 10)

“Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang muhsinin (orang yang memperbaiki amalannya).” (Surah al-A’raf: 5)

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya." (A-li 'Imraan: 8)

"Dan berdoalah (wahai Muhammad dengan berkata): "Wahai Tuhanku, berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik Pemberi rahmat!" (Al-Mu'minun: 118)