ALLAH S.W.T. MEMBERI KITA BONUS (PAHALA) APABILA KITA DITIMPA MUSIBAH




Sayyidina Anas r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Jika Allah menguji (memberikan bala) kepada seorang hamba Muslim pada jasadnya, Dia (Allah S.W.T) akan berfirman kepada malaikatnya, "Catatlah baginya (pahala) amal solehnya yang biasa dia lakukan". Jika Dia (Allah S.W.T.) menyembuhkannya, Dia akan memandikan dan menyucikan; dan jika Dia (Allah S.W.T.) mematikannya, Dia akan mengampuni dosa orang itu dan mengasihi (memberi)-nya (rahmat kasih-sayang)".
(Hadis Riwayat Imam Ahmad)


Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Tiada seorang Muslim diuji ( diberi bala) pada jasadnya, kecuali Allah S.W.T. memerintahkan kepada Al-Hafazhah (Malaikat penjaga) yang menjaga orang itu, "Catatlah bagi hamba-Ku apa yang biasa dia lakukan ketika sihat selama dia tertahan dalam belenggu (ikatan)-Ku".
(Hadis Riwayat Abdurrazaq)


Sayyidina Abu Musa Al-Asy'ary r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Jika seorang hamba Allah sakit atau bermusafir, maka dicatat baginya (pahala) seperti amal yang (biasa) dilakukannya ketika mukim dan sihat".
(Hadis Riwayat Imam Bukhari).


SYAITAN YANG SENTIASA BERSAMA KITA.



Abu Hurairah r.a. berkata:

Dikisahkan bahawa syaitan penggoda orang beriman telah berjumpa dengan syaitan penggoda orang kafir.

Syaitan penggoda orang kafir bertubuh gemuk dan berpakaian rapi, sementara syaitan pengggoda orang beriman berbadan kurus kering, rambut berkerinting dan bertelanjang.

Syaitan penggoda orang kafir bertanya kepada syaitan penggoda orang beriman:
"Mengapa kamu boleh kurus kering begini?"

Syaitan penggoda orang beriman menjawab:
"Aku sebenarnya mengikuti seorang lelaki yang setiap kali hendak makan selalu menyebut Nama Allah, sehingga aku terus kelaparan. Jika hendak minum, dia juga menyebut Nama Allah, sehingga aku terus kehausan. Jika hendak memakai baju , dia pun menyebut Nama Allah, sehingga aku terus telanjang. Jika hendak menyikat rambut, dia juga menyebut Nama Allah, sehingga rambutku tetap kerinting".

Syaitan penggoda orang kafir lalu berkata:
"Kalau aku bersama orang yang tidak pernah melakukan hal itu sedikit pun, sehingga aku selalu dapat ikut makan, minum, dan berpakaian dengannya". 


KENIKMATAN YANG TIDAK DAPAT DIBAYANGKAN




Sesungguhnya ahli-ahli syurga pada hari kiamat, mereka berada dalam kenikmatan yang dikurniakan kepada mereka sehingga tidak ada masa untuk berfikir tentang orang-orang yang masuk ke dalam neraka.

Ini kerana mereka berada di dalam nikmat yang sepenuh-penuhnya, nikmat yang tidak terhingga, bergaul dengan bidadari yang menjadi isteri mereka di dalam syurga, dengan makanan, minuman dan bunyi-bunyian di dalam syurga yang sungguh enak, sehingga tidak ada masa untuk mereka berfikir tentang ahli neraka.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin".
(Surah Yaasin: ayat 56).

Mereka itu (ahli syurga) dan isteri-isteri mereka di dalam syurga, berada di tempat yang teduh dan nyaman. Di dalam syurga tidak ada lagi kepanasan dan tidak ada lagi kesejukan yang menyakitkan. Mereka berada di bawah naungan pohon-pohon di kebun syurga kurniaan Allah S.W.T.

Di dalam istana syurga, mereka duduk di atas ranjang-ranjang (katil-katil) yang empuk. Mereka duduk di atas tempat yang dikurniakan oleh  Allah dan terus menikmati segala kurniaan yang diberikan oleh Allah S.W.T. di dalam syurga.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Mereka beroleh dalam syurga itu pelbagai jenis buah-buahan , dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki".
(Surah Yaasin: ayat 57).

Di dalam syurga itu telah tersedia buah-buahan yang banyak dan enak-enak belaka. Berbagai jenis buah-buahan ada di dalam syurga. Mereka boleh mendapatkan apa sahaja yang mereka kehendaki dan apa yang mereka minta. Mereka akan memperolehi setiap apa yang diidamkan, sama ada mereka pernah memakannya di dunia ini atau tidak. Inilah nikmat di dalam syurga. 

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Di dalam syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta dipandang indah oleh mata".
(al-Zukhruf: 71).

Ayat ini menjelaskan bahawa di dalam syurga itu terdapat perkara-perkara yang memuaskan keinginan dan kehendak serta melazatkan pandangan. Itulah nikmat di dalam syurga yang tidak pernah dilihat dan tidak terlintas di hati ketika di dunia ini. Inilah keagungan nikmat di dalam syurga.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan yang Maha Mengasihani".
(Surah Yaasin: ayat 58).

Di dalam syurga terdapat satu nikmat yang lebih besar dari segala nikmat, iaitu menerima salam dari Allah S.W.T.  Salam mulia daripada Tuhan pencipta makhluk yang Maha Penyayang.

Allah S.W.T. menggambarkan kepada mereka dengan rupa-Nya yang tidak sama dengan segala rupa makhluk, yang tidak sama dengan segala wajah yang baharu. Di syurgalah kita dapat melihat Allah S.W.T.  Di dunia ini kita tidak dapat melihat-Nya.

Semoga Allah S.W.T. menjadikan kita di kalangan orang-orang yang dapat melihat Allah S.W.T. di syurga.

"Ya Allah, perkenankanlah doa kami".