ALLAH S.W.T MEMBERI PERHATIAN KHAS KEPADA HAMBANYA YANG SENTIASA MENGINGATINYA.


Sesungguhnya Allah s.w.t. telah berfirmanAku bersama hambaku selagi dia mengingatiku dan kedua bibir mulutnya bergerak menyebutku (Riwayat Ahmad melalui Abu Hurairah r.a.)

Allah S.W.T. bersama hambanya dimana sahaja mereka berada:

Hadid [4] ……Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

Tidak perlulah difikirkan bagaimana Allah S.W.T. bersama dengan hambanya kerana Allah tidak bertempat. Allah meliputi seluruh alam sepertimana ruh (nyawa) meliputi seluruh badan. Nyawa atau ruh bukan terletak dijantung, cuma sistemnya berada disitu.

Dalam hadith qudsi di atas Allah S.W.T. berfirman bahawa dia bersama hambanya selagi mereka berzikir kepadanya, ini bermaksud Allah S.W.T. memberikan perhatian yang khas kepada mereka. Zikir pula terbahagi kepada dua jenis iaitu zikir secara senyap (dalam hati) dan zikir secara nyaring (melalui mulut). Dalam ilmu tarikat pada permulaanya, guru akan mengajar muridnya berzikir secara nyaring. Apabila zikir itu sudah melekat dalam hatinya barulah mereka berzikir secara senyap.

Bahkan hati kita juga tidak dapat mengingati Allah kecuali dengan kehendaknya.

Dan (dalam pada itu) tiadalah mereka dapat beringat melainkan jika dikehendaki Allah; Dialah Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya dan Dialah jua yang berhak memberi keampunan (kepada orang-orang yang beriman dan taat). (Al-Muddaththir:56)

Sesiapa yang dibenci Allah akan dijadikan penyembah berhala dan kafir. Mereka ini langsung tidak dapat mengingati Allah.

Maidah [60] Katakanlah: Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkaiNya dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi dan penyembah Taghut. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan yang betul.