“Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya saja-saja (sia-sia tanpa ada sesuatu hikmah pada penciptaan itu?) dan kamu (menyangka pula) kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu'minun, 115).
ALLAH S.W.T SAYANG KEPADA HAMBANYA YANG BANGUN UNTUK SOLAT MALAM
DALAM menjelaskan kelebihan sembahyang malam, Allah berfirman dalam surah, al Isra , ayat 79 yang bermaksud: "Dan pada sebahagian malam hari, sembahyang tahajudlah kamu sebagai satu ibadat tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat terpuji."
Firman Allah dalam surah as-Sajdah, ayat ke-16 dan 17, bermaksud: "Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya dan mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, bahkan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka."
"Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (pelbagai nikmat) apa yang menyedapkan pandangan mata, sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan."
Banyak hadis turut menerangkan kelebihan sembahyang malam. Di antaranya, hadis diriwayatkan Abu Hurairah, sabda Rasulullah saw bermaksud: Solat yang paling afdal selepas solat fardu ialah solat pada waktu tengah malam dan puasa yang paling afdal selain puasa Ramadan ialah puasa bulan Muharam.
Bilal pula meriwayatkan Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang pada waktu malam kerana yang demikian adalah amalan orang salih sebelum kamu.
Ia dapat mendekatkan diri kepada Allah, mencegah perbuatan maksiat, menghapuskan dosa dan menghilangkan penyakit dari badan.
Sabda Rasulullah saw lagi bermaksud: "Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun tengah malam lalu dia mengerjakan sembahyang dan membangunkan isterinya untuk turut sama bersembahyang.
Kalau isterinya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya. Dan Allah mengasihi seorang wanita yang bangun tengah malam untuk mengerjakan sembahyang lalu dia membangunkan suaminya untuk turut yang sama. Kalau suaminya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya