“Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya saja-saja (sia-sia tanpa ada sesuatu hikmah pada penciptaan itu?) dan kamu (menyangka pula) kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu'minun, 115).
BIAWAK PUN BERIMAN KEPADA ALLAH S.W.T.
Di dalam kitab Dalail an-Nubuwwah karangan al-Imam al-Baihaqi yang meriwayatkan kisah keimanan seekor biawak padang pasir terhadap Baginda s.a.w. sebagaimana yang diriwayatkan oleh sayidina ‘Abdullah ibn Umar r.a., daripada ayahnya, sayidina Umar al-Khattab;
“Rasulullah s.a.w. sedang berjalan bersama para sahabatnya, kemudian datang seorang Arab badwi daripada Bani Sulaim yang bersamanya seekor biawak padang pasir disisipan lengan bajunya yang telah diburunya dan bercadang untuk dibakar dan dimakan.
Apabila dia terlihat terdapatnya satu jamaah, dia pun bertanya, “Siapakah ini?”.
Orang disekitarnya pun menjawab, “Itulah dia Nabi Muhammad S.A.W”.
Maka orang Arab badwi tadi pun meluru ke arah Rasulillah s.a.w. sambil menolak-nolak manusia disekelilingnya lalu berkata, “Demi tuhan Laata dan ‘Uzza! tidak ada orang yang dilahirkan oleh wanita lebih aku benci dan murkai daripadamu. Sekiranya bukan kerana kaumku memanggilku dengan tergesa-gesa, nescaya aku telah datang dan membunuhmu. Maka aku akan membahagiakan orang berkulit hitam, merah, putih dan lain-lainnya”.
Mendengar ucapan Arab badwi yang mencela Baginda s.a.w. itu telah menjadikan sayidina Umar ibn al-Khattab marah lalu berkata, “Wahai Rasulullah! Biarkan sahaja aku untuk bangun dan membunuhnya”.
Baginda s.a.w. pun bersabda, “Wahai Umar! Apakah engkau mengetahui bahawa berlemah-lembut itu adalah hampir sahaja menjadikan seseorang itu Nabi?”.
Baginda s.a.w. pun menerima kedatangan Arab badwi yang tidak beradab itu lalu bertanya, “Apakah yang membuatkan kamu berkata bahawa apa yang telah aku katakan adalah bukanlah yang haq? Kamu juga tidak memuliakan aku di dalam majlisku”.
Arab badwi itu pun berkata dengan angkuh tanpa menghiraukan ucapan Baginda s.a.w., “Kamu harus bercakap kepadaku juga!”. “Demi tuhan Laata dan ‘Uzza! Tidak akan aku beriman kepadamu melainkan setelah biawak ini beriman kepadamu”.
Maka dia pun mengeluarkan biawak padang pasir tersebut dari sisipan lengannya dan melontarkannya ke hadapan Rasulillah s.a.w..
Baginda s.a.w. pun memanggil biawak tersebut.
Biawak tersebut pun menjawab seruan Baginda s.a.w. dengan bahasa Arab yang jelas yang didengari oleh kesemua kaum disitu, “Aku menyahut seruanmu dan membantumu wahai perhiasan yang menghubungkan hari kiamat”.
Baginda s.a.w. pun bertanya, “Kepada siapakah kamu sembah?”.
Jawab biawak tersebut, “Aku menyembah Tuhan yang mana di langit itu ‘ArasyNya, di bumi itulah kekuasaanNya, di lautan itulah jalanNya, di Syurga itu rahmatNya, dan di Neraka itu seksaanNya”.
Baginda s.a.w. pun bertanya lagi, “Dan siapakah aku?”.
Jawab biawak tersebut, “Engkau adalah pesuruh Tuhan sekalian ‘alam, dan penyudah bagi sekalian Nabi, dan sesungguhnya berbahagialah orang yang membenarkanmu dan rugilah sesiapa yang menolakmu”.
Mendengar jawapan biawak tersebut, orang Arab badwi tersebut pun berkata, “Demi Allah! Sesunguhnya aku telah datang kepadamu tadi dengan perasaan yang penuh kemarahan, dan sekarang kamulah orang yang paling aku cintai lebih daripada ibu bapaku, dan daripada harta-bendaku dan diriku. Bahkan aku mencintaimu dari dalam dan luar jiwaku, dan dari hatiku hinggalah zahirku”.
Setelah itu, beliaupun melafazkan keIslamannya di hadapan Baginda s.a.w., “Tiada tuhan (yang wajib disembah) melainkan Allah, dan sesungguhnya engkau adalah pesuruh Allah”
Lihatlah betapa tingginya kemuliaan Baginda s.a.w., sehinggakan haiwan yang tidak berakal bahkan tidak mampu bersuara, dimuliakan Allah s.w.t. dengan kebolehan haiwan tersebut berkata-kata dan mengakui keRasulan Baginda s.a.w..
Amatlah rugi bagi sesiapa yang mendustai ketinggian darjat Baginda s.a.w. mengatasi segala makhluq, amatlah rugi bagi sesiapa yang terhijab daripada memandang kesempurnaan Baginda s.a.w..