“Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya saja-saja (sia-sia tanpa ada sesuatu hikmah pada penciptaan itu?) dan kamu (menyangka pula) kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu'minun, 115).
MALAIKAT JIBRAIL MENERANGKAN TENTANG ERTI TAWAKAL
Nabi Muhammad S.A.W. pernah bertanya kepada Malaikat Jibrail apa erti tawakal kepada Allah S.W.T. dan apa batasnya?
Malaikat Jibrail berkata:
"Tawakal adalah suatu kesedaran bahawa seluruh makhluk tidak mendatangkan sebarang mudarat atau manfaat kepadamu, tidak memberi atau mengambil sesuatu darimu, dan engkau tidak menggantungkan sebarang harapan kepada mereka.
Apabila seorang hamba Allah memiliki sifat demikian, dia tidak akan melakukan sesuatu melainkan kerana Allah S.W.T. semata-mata, tidak akan berharap atau takut kepada sesuatu melainkan kepada Allah S.W.T. semata-mata, dan dia tidak akan menaruh harapan kepada siapa pun kecuali kepada Allah S.W.T. semata-mata. Itulah yang disebut sebagai tawakal".
Besar kecilnya tawakal seseorang kepada Allah S.W.T. sangat bergantung kepada kepercayaannya kepada Allah S.W.T.
Apabila rasa percayanya kepada Allah sangat kecil, maka sikap tawakal kepadaNya juga akan sangat sedikit.
Dan apabila rasa percayanya kepada Allah S.W.T. amat tinggi, maka sikap tawakalnya kepada Allah juga akan sangat tinggi.
Imam Ali pernah berkata:
"Bagus tidaknya tawakal seseorang hamba kepada Allah, bergantung pada kadar kepercayaannya kepada Allah S.W.T"
Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Apabila Allah menolong kamu, tidak adalah orang lain yang dapat mengalahkan kamu, apabila Allah membiarkan kamu, siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Kerana itu, hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakal".
(Ali Imran: 160).
Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Katakanlah: sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal".
(At Taubah: 51).