“Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya saja-saja (sia-sia tanpa ada sesuatu hikmah pada penciptaan itu?) dan kamu (menyangka pula) kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu'minun, 115).
NABI IBRAHIM MENOLAK PERTOLONGAN DARI MALAIKAT
Ketika Nabi Ibrahim a.s. akan dilempar oleh Raja Namrud ke dalam kawah api yang akan membakarnya, tiba-tiba Malaikat Jibrail datang untuk menawarkan pertolongan.
"Wahai Ibrahim! Apakah engkau memerlukan pertolongan ku?" tanya Malaikat Jibrail.
"Kalau dari mu, aku tidak perlu sebarang pertolongan. Cukuplah penolongku hanya Allah semata-mata, dan Allah adalah sebaik-baik Penolong". jawab Nabi Ibrahim a.s.
Kemudian datang pula Malaikat Mikail menawarkan bantuan.
Malaikat Mikail berkata:
"Wahai Ibrahim, apabila engkau inginkan, aku akan padamkan api ini kerana kunci-kunci hujan dan air berada dalam genggamanku".
"Kalau pertolongan darimu, tidak ku perlukan". jawab Nabi Ibrahim a.s.
Datang lagi Malaikat lain yang bertugas meniup angin menawarkan bantuan.
Katanya: "Wahai Ibrahim, kalau engkau inginkan, aku akan tiupkan angin yang boleh memadamkan api itu".
"Tidak darimu", jawab Nabi Ibrahim a.s.
Maka, Malaikat Jibrail datang lagi dan berkata:
"Kalau begitu, mohonlah dari Allah S.W.T".
"Hanya kepadaNya dan hanya dariNya tempat aku bermohon; dan Dia Maha Mengetahui tentang keadaanku....." jawab Nabi Ibrahim a.s.
Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Hai api menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim".
(al-Anbiya (21) : 69).
Akhirnya dia pun keluar dari api itu dengan selamat dan terhindar dari tipu muslihat kaum durjana itu.
Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia adalah Maha Penyayang diantara para penyayang".
(Yusuf (12) : 64).