SIAPAKAH YANG DAPAT MINUM AIR DI TELAGA KAUTSAR (DI AKHIRAT) ?




Allah S.W.T. bakal mengurniai Nabi Muhammad S.A.W. sebuah telaga yang luas untuk memberikan peluang kepada Nabi-Nya dan juga orang-orang yang beriman minum dengan sepuas-puasnya di padang Mahsyar.

Orang yang dapat minum air telaga kautsar itu tidak akan dahaga selama-lamanya. Orang-orang yang beriman diberi peluang oleh Allah S.W.T. untuk menghilangkan dahaga dengan meneguk air "Telaga Kautsar" itu.

Sebaliknya orang-orang kafir dan seumpamanya tidak mendapat sebarang kurniaan daripada Allah S.W.T, walaupun setitik air dari telaga itu. Mereka bukan sahaja tidak dapat minum air, malah menghampirinya pun tidak dapat dilakukannya.

Meminum air di telaga kautsar itu merupakan pertolongan awal yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada hamba-Nya yang taat setelah mereka dibangkitkan dari kubur masing-masing dalam keadaan lapar dan dahaga.

Pemberian ini menggambarkan sifat "Ar-Rahim" Allah S.W.T. terhadap hamba-Nya yang beriman di Akhirat.

Pada ketika yang sama, orang-orang kafir dan juga orang-orang yang murtad berpusu-pusu cuba untuk menghampiri telaga kautsar, tetapi ketika itu Allah S.W.T. menghantar 70,000 malaikat yang pada tangan mereka ada tongkat daripada api neraka untuk menghalau golongan kuffar itu.