ALLAH S.W.T. KEKAL UNTUK SELAMA-LAMANYA.



Allah S.W.T. wajib mempunyai sifat Baqa' ertinya kekal ataupun tidak berkesudahan, wujud Allah kekal untuk selama-lamanya, tidak ada batasan waktu ataupun  masa.

Orang yang beriman kepada Allah S.W.T. meyakini bahawa yang menciptanya itu terus ada , kekal untuk selama-lamanya. Ini bererti bahawa setiap makhluk akan kembali kepada Penciptanya yang tidak pernah lenyap.

Semua makhluk atau segala sesuatu yang ada di alam semesta ini bermula dari ada kemudian menuju kepada kehancuran atau mati akhirnya tiada. Begitu juga manusia pada mulanya ia lahir ke dunia akhirnya meninggal dunia. Adanya alam akan menempuh kebinasaan dan kehancuran sedangkan adanya Allah S.W.T.  kekal untuk selama-lamanya.

Setiap insan harus beriman bahawa Allah S.W.T. bersifat kekal dengan tiada berkesudahan. Begitu juga setiap insan harus percaya bahawa kehidupan makhluk akan berakhir dengan kehancuran dan akan kembali kepada Allah S.W.T. Yang Maha Kekal.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Semua yang ada di bumi itu akan binasa. Dan tetap kekal Zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan".
(Ar Rahman: 26-27).