MENGAPA NERAKA MEMPUNYAI 7 PINTU?



Menurut pendapat Syeikh Mahmud bin Abdillah al-Alusi (wafat pada 1207 Hijrah) dalam tafsirnya Ruh al-Ma'ani:

"Hikmah pembatasan bilangan pintu-pintu neraka itu kemungkinan kerana sebab-sebab kebinasaan manusia berpunca pada lima pancainderanya (mata, telinga, hidung, lidah dan kulit) juga syahwat dan emosi".

Ini membawa maksud, penyebab manusia masuk ke dalam neraka adalah pada tujuh anggotanya, maka pintu-pintu neraka juga berjumlah sebanyak tujuh buah pintu.

Setiap orang ahli neraka akan dicampakkan melalui pintu-pintu yang disesuaikan dengan amalan masing-masing.

Jika seseorang itu suka bermaksiat dengan matanya di dunia, maka dia akan dilemparkan ke dalam neraka melalui salah satu daripada pintu yang dikhaskan untuknya. Dan sesiapa yang suka bermaksiat dengan lidahnya, maka telah disediakan pintu khas untuknya. Begitulah seterusnya sehingga ia meliputi semua orang yang telah ditetapkan masuk ke dalam neraka.

Sebaliknya, sesiapa yang selalu menjaga ketujuh-tujuh anggota ini daripada maksiat, maka tertutuplah pintu-pintu neraka itu di hadapannya. Untuk orang seperti ini, syurga adalah tempat yang paling sesuai baginya,.

Dalam hadis riwayat Ibn Hibban dan al-Hakim, Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Jaminlah bagiku enam perkara maka aku menjamin untukmu syurga, Jujurlah jika kamu berbicara, tepatilah jika kamu berjanji, sampaikanlah jika kamu diberi amanat, jagalah kemaluanmu, tundukkanlah pandanganmu dan jagalah tanganmu".