Allah S.W.T.
berfirman (yang bermaksud):
“Dan apabila
seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia kepada Kami (dalam segala
keadaan), samaada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri dan manakala
Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya
seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang
kesusahan yang menimpanya. (Sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu)
demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang
mereka lakukan.”
(Surah
Yunus: ayat 12).
Itulah sifat manusia! Allah S.W.T. menceritakan mengenai sikap dan perangai manusia di dalam kitab-Nya. Apabila menghadapi kesusahan barulah mereka mengingati Allah S.W.T. Pada ketika itu masing-masing menadah tangan memohon doa dan pertolongan daripada-Nya. Namun, apabila sudah merasa senang, mereka kembali melupai-Nya.
Itulah kita. Mari kita perhatikan kepada diri kita sendiri. Apabila kita menghadapi kesusahan, kita bersolat hajat, kita baca Al-Quran, bahkan kita sanggup lakukan apa sahaja bagi memohon petunjuk dan supaya kesusahan yang kita hadapi itu akan segera dihilangkan.
Tetapi, apabila kita kembali senang kita mula tinggalkan semua amalan yang kita lakukan ketika kita susah dahulu. Lebih malang lagi, selepas kita mendapat kesenangan, kita mendekati maksiat pula.