MENGAPAKAH ALLAH S.W.T. MENANGGUHKAN AZAB TERHADAP ORANG YANG MELAKUKAN KEZALIMAN?



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal mereka. Oleh itu, (Kami tidak menyegerakan azab yang dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami itu meraba-raba dalam kesesatannya."
(Surah Yunus, ayat 11).

Dalam suatu hadis Qudsi; dinyatakan bahawa kalau tidak kerana orang tua yang masih sujud dan rukuk kepada Allah, kalau tidak kerana anak-anak kecil yang masih ramai yang menyusu dengan ibunya, kalau tidak kerana binatang yang masih lagi meragut rumput, sudah tentu Allah telah mencurahkan azab-Nya ke atas dunia ini tanpa meninggalkan sedikitpun.

Allah S.W.T. mampu menurunkan azab-Nya. Dia juga boleh menenggelamkan dunia ini dengan azab yang menyebabkan semua manusia binasa. Apatah lagi Allah S.W.T. mempunyai bukti perbuatan maksiat dan kekejaman yang dilakukan oleh manusia di atas muka bumi-Nya.

Namun, lantaran tiga faktor ini, Allah S.W.T. tidak bertindak menurunkan azab-Nya secara menyeluruh. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa apabila hati manusia itu dikeras atau dimatikan, ia juga adalah sejenis azab. Azab ini menyebabkan hati manusia itu kering atau tidak berfungsi, sehingga melupakan akhirat.

Akibatnya mereka akan berbuat sesuatu mengikut kehendak hati mereka tanpa mengikut aturan yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. 

Mereka tidak akan  gerun dengan balasan azab neraka.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Sebenarnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat dalam keadaan berdosa, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam yang ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup".
(Surah Taha, ayat 74).