Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak
perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan
pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang
demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik)
maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani”
(Al-Ahzaab: ayat 59) Bani Qainuqa’ adalah kaum yahudi yang paling kuat dan kaya, kerana itu Rasulullah S.A.W. lebih mendahulukan perhitungan dengan mereka. Beliau pergi ke pasar mereka dan mengumpulkan mereka serta menawarkan Islam kepada mereka.
Mereka menolak tawaran tersebut dengan cara yang keji,
bahkan mereka berkata:
“Jangan engkau besar kepala dengan mengalahkan bangsa yang
tidak mengerti perang (maksudnya: kabilah Quraisy dalam perang Badar), Demi
Allah! Andai engkau mencuba kekuatan kami, nescaya engkau akan mengetahui
bahawa kami adalah manusia sejati”.
Lalu Rasulullah S.A.W. meninggalkan mereka dengan rasa
marah.
Setelah itu terjadi suatu peristiwa, dimana seorang wanita
muslimah datang ke pasar mereka, lalu mereka mengikat hujung pakaian wanita
tersebut, sehingga tersingkaplah auratnya, lalu wanita itu berteriak meminta
tolong kepada kaum muslimin.
Lalu salah seorang muslim melompat dan membunuh orang yang
melakukan hal tersebut. Orang-orang yahudi mula berkumpul dan terus membunuh
orang muslim tersebut. Kemudian Rasulullah S.A.W. mengepung perkampungan mereka
selama 15 hari. Mereka berjumlah 700 pasukan.
Lalu Rasulullah S.A.W. hendak mula berperang dengan mereka,
tetapi sekutu mereka iaitu Abdullah bin Ubay bin Salul memohon agar mereka
tidak dibunuh dan meminta kepada Rasulullah S.A.W. agar mereka diampuni.
Kemudian Rasulullah S.A.W. mengusir mereka dari Madinah.
(Sumber: At-tarikh As-Syamil, oleh: Dr.Abdulbasith, jilid 1 hal.165-166).
Begitulah tingginya maruah seorang wanita muslimah disisi Islam
pada zaman Rasulullah S.A.W sehingga mereka sanggup berperang untuk menjaga
maruah seorang muslimah.
Tetapi kini pada akhir zaman ini, maruah para muslimah
telah tidak lagi dihiraukan oleh sesiapapun kecuali segelintir umat islam yang
beriman. Lihatlah tingkah laku wanita islam di zaman ini terutamanya di bandar
yang besar, mereka tidak lagi menghiraukan tentang aurat mereka malah sanggup
berpakaian mendedahkan aurat.