Tiada keraguan lagi bahawa
hanya agama Islam yang merupakan agama paling sesuai untuk setiap
manusia, kerana ia merupakan satu-satunya agama yang diredhai serta diterima di
sisi Allah S.W.T.
Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Sesungguhnya agama
(yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan
Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan
enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah
tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki
yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan
ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan
hisabNya.”
(Surah A-li'Imraan: ayat 19)
Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Dan sesiapa yang
mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia
pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”
(Surah A-li'Imraan: ayat 85)
Namun ironinya, satu-satunya agama yang diredhai Allah
S.W.T. ini begitu tidak disenangi oleh ramai manusia, malah mereka turut
membenci dan memeranginya.
Kemungkinan perkara ini berlaku disebabkan mereka tidak
benar-benar mengenali Islam. Jika seseorang itu benar-benar mengenali Islam,
dia pasti akan sanggup berkorban apa saja kerananya.
Keistimewaan seorang muslim ini adalah dia memahami hakikat
sebenar tentang dirinya. Dia tahu dari mana dia datang, mengapa dia berada di
sini dan apa misi dan tujuan kewujudannya serta ke mana dia akan pergi selepas
kehidupan ini dan apa kesudahan yang bakal menantinya.
Dia tahu dia harus membuat pilihan yang terbaik dalam
kehidupan ini dan dia juga tahu bagaimanakah caranya untuk dia mencapai
matlamat yang dipilihnya itu.
Paling penting adalah dia menyedari bahawa dia
bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pilihan itu.
Dia adalah insan yang “sedar”
akan realiti dirinya, yang mempunyai fahaman yang jelas dan pendirian yang
tegas serta dia yakin sepenuhnya terhadap prinsip hidupnya.
Dia tidak pernah kebingungan atau keliru dan tidak akan
mudah goyang di hadapan sebarang cabaran yang dihadapinya.