7 SUNNAH RASULLULLAH S.A.W.



1. TAHAJJUD
Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya. Pastinya doa mudah termakbul dan menjadikan kita semakin hampir dengan Allah S.W.T.

2. MEMBACA AL-QURAN
Membaca al-quran sebelum terbit matahari, alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca al-quran terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.

3. JANGAN TINGGALKAN MASJID
Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkatan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi kerana panggilan Allah S.W.T.

4. SOLAT DHUHA
Jaga solat dhuha kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

5. SEDEKAH
Jaga sedekah setiap hari. Allah S.W.T. menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari. Percayalah, sedekah yang diberikan akan dibalas oleh Allah berlipat kali ganda.

6. WUDUK
Jaga wuduk terus menerus kerana Allah S.W.T. menyayangi hamba yang berwuduk.

7. ISTIGHFAR
Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah S.W.T.



TUNJUKKANLAH SIFAT KEHAMBAAN MU DI HADAPAN ALLAH S.W.T.




Berkata Syaikh Ibnu Athaillah:

"Tunjukkanlah sifat-sifat (kehambaan) mu dengan sebenar-benarnya, nescaya Allah S.W.T. akan menolongmu dengan Sifat-Sifat-Nya. Iaitu tunjukkanlah kehinaanmu, nescaya Allah S.W.T. akan menolongmu dengan Kemuliaan-Nya, tunjukkanlah kerendahanmu, nescaya Allah S.W.T. akan menolongmu dengan Kekuasaan (Kudrat)-Nya, dan tunjukkanlah kelemahanmu nescaya Allah S.W.T. akan menolongmu dengan upaya dan Kekuatan-Nya".

Sebagai hamba Allah S.W.T, kita ini adalah makhluk yang lemah, hina, miskin dan mempunyai banyak kekurangan. Oleh yang demikian, hendaklah kita menunjukkan dan mengakui kekurangan-kekurangan tersebut dengan bersikap rendah diri dan merasa selalu memerlukan pertolongan-Nya.

Dengan demikian, maka hati ini akan sentiasa bersih daripada sifat sombong, takbur, dengki, ujub, suka membanggakan diri serta sifat-sifat tercela lainnya.

Selanjutnya ia akan menimbulkan keyakinan bahawa segala sesuatu itu tiada memiliki daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah S.W.T. semata-mata.

MATA MANUSIA TIDAK MAMPU MELIHAT ALLAH S.W.T.



Lemah dan sangat terbatasnya kemampuan alat penglihatan manusia, menyebabkan mereka tidak mampu untuk melihat Allah S.W.T.

Seandainya Allah S.W.T. menampakkan wujud-Nya, nescaya mata manusia akan buta. Bahkan seluruh tubuh manusia itu akan rosak binasa disebabkan KeAgungan dan KeHebatan Dzat Allah S.W.T.

Ini ditegaskan oleh Allah S.W.T. dalam Firman-Nya melalui sebuah hadis Qudsi (yang bermaksud):

"Hai Musa!, Engkau sekali-kali tidak akan dapat melihat-Ku. Sungguh mahkluk hidup pasti akan mati kerana melihat-Ku, yang basah pasti menjadi kering kontang, yang kering pasti bertaburan, yang dapat melihat-Ku hanyalah penghuni Syurga dan tidak akan mati pandangannya serta tidak akan hancur binasa tubuhnya".
(Diriwayatkan oleh al-Hakim dari Ibnu Abbas).

Berdasarkan kepada hadis Qudsi di atas, dapat kita ketahui bahawa yang dapat melihat Allah S.W.T. hanyalah penghuni Syurga. Kerana setelah mereka mati, diciptakan semula oleh Allah S.W.T. dengan sifat-sifat kesempurnaan, kekal selama-lamanya, dilenyapkan segala kelemahan-kelemahan manusia sehingga mereka sanggup untuk melihat Allah S.W.T. bahkan mereka memperolehi kenikmatan ketika memandang kepada-Nya.

Bagaimanapun, tiada seorang juapun yang mengetahui hakikat memandang tersebut dan cara-caranya. Sedangkan para ulama salaf berpendapat bahawa soal ru'yah (memandang) itu berpangkal pada `Bila Kaifa' (tidak tahu bagaimana caranya), sehingga kita tidak dapat memperkirakan atau menggambarkannya.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Maka tiada seorangpun yang mengetahui apa-apa yang dirahsiakan untuk mereka, iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan".
(Surah al-Sajdah: 17).