BUKTI ADANYA SIKSAAN DIDALAM KUBUR



Diriwayatkan oleh Muslim dari Zaid bin Tsabit:
Pada suatu hari, kami bersama Rasulullah S.A.W. di dalam kebun kepunyaan Bani Najjar.
Rasulullah sedang berada di atas himar (binatang tunggangan), tiba- tiba himar itu terkejut sampai miring badannya, sehingga Rasulullah hampir terjatuh. Rupa-rupanya di tempat itu terdapat 6 atau 5 atau 4 kuburan. 

Maka Rasulullah S.A.W. bertanya: "Siapakah yang mengetahui kuburan siapakah ini?"
Seorang lelaki menerangkan bahawa dia kenal akan orang-orang yang dikuburkan di tempat itu.
Rasulullah S.A.W. bertanya: "Bilakah mereka meninggal dan dikuburkan di situ?"
Lelaki itu menjawab: "Sejak sekian waktu lamanya".
Maka Rasulullah S.A.W. bersabda: "Mereka semua sedang disiksa. Sekiranya tidak dikhuatirkan yang kamu akan takut, aku akan mendoakan kepada Allah S.W.T. agar diberikan kepada kamu kemampuan untuk mendengarkan siksa kubur sebagaimana aku sendiri mendengarnya".

Lalu Rasulullah S.A.W. menghadapkan muka beliau kepada kami semua dan berkata: "Berdoalah agar Allah S.W.T. melindungi kita dari siksa Neraka".
Kami lalu berdoa memohon dilindungi oleh Allah S.W.T. dari siksa Neraka.
Rasulullah S.A.W. berkata: "Berdoalah agar dilindungi oleh Allah S.W.T. dari siksa kubur".
Kami berdoa agar Allah S.W.T. melindungi kami dari siksa kubur.
Rasulullah S.A.W. berkata: "Mohonlah perlindungan Allah S.W.T. dari segala bahaya yang nyata dan bahaya yang tidak nyata".
Lalu kami berdoa agar dilindungi oleh Allah S.W.T. dari bahaya nyata dan bahaya yang tidak nyata
Rasulullah S.A.W. berkata: "Mohonlah perlindungan Allah S.W.T. dari bahaya Dajjal".
Kami pun berdoa kepada Allah S.W.T. agar dilindungi dari bahaya Dajjal.




Diriwayatkan oleh at-Tahawy dari Ibnu Mas'ud, bahawa Rasulullah S.A.W. pernah berkata:
"Ada seorang hamba dari hamba-hamba Allah S.W.T. yang diperintahkan untuk dipukul 100 kali dalam kuburnya, tetapi oleh kerana hamba itu semasa hidupnya selalu berdoa agar dilindungi dari siksa kubur, maka dia dipukul hanya satu kali. Dengan sekali pukul itu, kuburnya dipenuhi dengan api. Setelah api hilang dan dia sembuh dari pukulan itu, ia bertanya kepada Malaikat:
"Kenapa aku dipukul?".
Malaikat menjawab: " Engkau pernah solat tanpa wuduk dan pernah melewati orang yang sedang dianiaya tetapi engkau tidak memberikan pertolongan".






HAKIKAT SOLAT ZAHIR DAN BATIN



Ada dua hakikat untuk solat, iaitu hakikat zahir dan hakikat batin. Solat seseorang itu tidak akan dikira sempurna melainkan dengan melaksanakan kedua-dua hakikat ini sekaligus.

Tugas solat yang zahir ialah bahagian badan dan anggota manakala tugas solat yang batin ialah bahagian hati dan rahsia kebatinannya. Yang kedua inilah tempat yang diperhatikan oleh Allah S.W.T. terhadap setiap hambaNya, yakni hati dan rahsia dalam dirinya.

Imam Al-Ghazali  rahimahullah berkata:

"Perumpamaan orang yang mendirikan solat secara hakikat zahir saja serta mengalpakan hakikat batinnya, umpama seorang yang menghadiahkan seorang puteri yang sudah mati kepada seorang Maharaja.

Dan perumpamaan orang yang alpa dalam mendirikan hakikat solat yang zahir ialah umpama seorang yang menghadiahkan seorang puteri yang kudung tangan dan kakinya dan buta matanya kepada seorang Raja.

Kedua-dua orang ini akan dimurkai oleh Raja disebabkan hadiahnya. Mereka akan disiksa dan dianiaya oleh Raja kerana menghina kedudukan Raja serta mengabaikan haknya.

Samalah perumpamaan dengan anda yang menghadiahkan solat itu kepada Tuhan. 
Awas, janganlah sampai anda menghadiahkan solat itu dengan sifat-sifat yang tersebut sehingga anda patut menerima siksaan Allah S.W.T."


PEMBAHAGIAN MANUSIA DI AKHIRAT




Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Iaitu hari (yang pada waktu itu) ditiup sangkakala lalu kamu datang berkelompok-kelompok".
(An-Naba' :18).

Diriwayatkan bahawa ayat yang tersebut diatas pernah ditanyakan oleh Muaz bin Jabal, katanya: 
"Ya Rasulullah, apa makna ayat ini?".

Maka Rasulullah S.A.W. menangis sebelum menjawab soalan tersebut.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Ya Muaz, umatku kelak apabila bangkit dari kubur akan menjadi 12 golongan. Sebanyak 11 golongan akan memasuki Neraka dan hanya 1 golongan yang memasuki Syurga. Adapun 11 golongan yang memasuki Neraka adalah seperti berikut:

1) Mereka yang tidak mempunyai kaki dan tangan
    Ini adalah kerana mereka suka menyakiti hati jiran tetangga.

2) Mereka yang menyerupai babi.
    Ini adalah balasan bagi orang yang suka melengah-lengahkan solat 5 waktu.

3) Mereka yang perutnya besar seperti gunung dan dipenuhi dengan ular dan kala.
    Inilah balasan bagi mereka yang enggan mengeluarkan zakat.

4) Mereka yang keluar darah dari mulutnya.
    Inilah balasan mereka yang berdusta.

5) Mereka yang berbau busuk seluruh badannya. 
    Ini adalah balasan mereka yang mengaut keuntungan dalam jual beli atas penipuan.

6) Mereka yang dicincang-cincang pada tengkuk dan bahu.
    Ini adalah balasan mereka yang menyaksikan maksiat atau perbuatan jahat.

7) Mereka yang keluar dengan tidak berlidah dan keluar nanah dan darah dari mulut.
    Ini balasan mereka yang tidak mahu menyaksikan kebenaran.

8) Mereka yang keluar dalam keadaan terbalik iaitu kepala dibawah dan kakinya keatas.
    Ini adalah balasan mereka yang berzina serta mati sebelum bertaubat.

9) Mereka yang berwajah hitam, bermata biru dan perutnya penuh api.
    Ini balasan mereka yang memakan harta anak yatim secara zalim.

10) Mereka yang kulitnya penuh kudis dan penyakit-penyakit lain yang menjijikkan.
      Ini adalah balasan mereka yang berani melawan kedua ibu bapanya.

11) Mereka yang buta matanya dan hatinya, giginya seperti tanduk, bibirnya berjuntai hingga ke perut, dari perut dan pehanya keluar kotoran.
      Ini adalah balasan mereka yang minum minuman keras (arak).

SATU GOLONGAN YANG SELAMAT
Hanya satu golongan yang akan selamat dan masuk ke dalam Syurga, iaitu:

"Mereka yang wajahnya bagaikan bulan purnama, berjalan di atas titian mustaqim laksana kilat. Ini balasan orang yang beramal solih dan menjauhi maksiat serta mendirikan solat lima waktu dan mati dalam keadaan bertaubat".