“Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya saja-saja (sia-sia tanpa ada sesuatu hikmah pada penciptaan itu?) dan kamu (menyangka pula) kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu'minun, 115).
HAKIKAT SOLAT ZAHIR DAN BATIN
Ada dua hakikat untuk solat, iaitu hakikat zahir dan hakikat batin. Solat seseorang itu tidak akan dikira sempurna melainkan dengan melaksanakan kedua-dua hakikat ini sekaligus.
Tugas solat yang zahir ialah bahagian badan dan anggota manakala tugas solat yang batin ialah bahagian hati dan rahsia kebatinannya. Yang kedua inilah tempat yang diperhatikan oleh Allah S.W.T. terhadap setiap hambaNya, yakni hati dan rahsia dalam dirinya.
Imam Al-Ghazali rahimahullah berkata:
"Perumpamaan orang yang mendirikan solat secara hakikat zahir saja serta mengalpakan hakikat batinnya, umpama seorang yang menghadiahkan seorang puteri yang sudah mati kepada seorang Maharaja.
Dan perumpamaan orang yang alpa dalam mendirikan hakikat solat yang zahir ialah umpama seorang yang menghadiahkan seorang puteri yang kudung tangan dan kakinya dan buta matanya kepada seorang Raja.
Kedua-dua orang ini akan dimurkai oleh Raja disebabkan hadiahnya. Mereka akan disiksa dan dianiaya oleh Raja kerana menghina kedudukan Raja serta mengabaikan haknya.
Samalah perumpamaan dengan anda yang menghadiahkan solat itu kepada Tuhan.
Awas, janganlah sampai anda menghadiahkan solat itu dengan sifat-sifat yang tersebut sehingga anda patut menerima siksaan Allah S.W.T."