“Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya saja-saja (sia-sia tanpa ada sesuatu hikmah pada penciptaan itu?) dan kamu (menyangka pula) kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu'minun, 115).
JAUHI MAKSIAT KETIKA MASIH MUDA
Imam Ibn Kathir menceritakan tentang seorang ulama besar dan kadi bernama Abu al-Tayyib Tahir bin Abdullah bin Tahir bin Umar al Tabari al-Syafi'i dalam kitab "al-Bidayah wa al- Nihayah."
Ulama ini telah berumur lebih dari 100 tahun, namun memiliki kesihatan yang baik dan akal yang cerdas.
Pada suatu hari, beliau telah melompat dengan lompatan yang tinggi. Orang yang melihat ketika itu mencelanya. Kalau zaman kita, mungkin akan dikatakan: "Buang tabiat agaknya orang tua ini".
Namun apa jawapan Abu al-Tayyib Tahir?
"Aku menjaga badan ini daripada membuat maksiat ketika remaja, maka Allah S.W.T. menjaganya ketika aku telah tua."
Maksud beliau, jika kita menjaga suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya ketika usia muda, maka Allah S.W.T. akan membalas dengan memberikan kesihatan yang baik.