“Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya saja-saja (sia-sia tanpa ada sesuatu hikmah pada penciptaan itu?) dan kamu (menyangka pula) kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu'minun, 115).
ALLAH S.W.T. YANG MENGGERAKKAN KITA UNTUK BERAMAL
Syaitan selalu membisikkan kepada kita tentang amal kita yang banyak walaupun baru sikit benar. Kita gembira apabila dipuji manusia. Timbul rasa ujub dan riak yang memusnahkan pahala.
Kita tak perasan kita sebenarnya berdosa sebaliknya menyangka kita masih beramal soleh. Kita mesti mengawal dari serangan penyakit batin seperti riak, ujub, bongkak, sombong, dengki yang kesemuanya merosakkan amalan.
Perlu kita ketahui sebelum kita melakukan sebarang ketaatan, Allah S.W.T. sudah terlebih dulu mendahului dan mengingati kita.
Kalau Allah S.W.T. tidak gerakkan kita untuk beramal, kita tidak akan beramal.
Ini maknanya Allah S.W.T. mendahului kita. Jangan sangka kita yang beramal, sebenarnya Allah S.W.T. menggerakkan kita untuk beramal.
Jadi soal pahala tidak timbul. Sepatutnya kita bersyukur kerana Allah S.W.T. gerakkan kita untuk beramal.
Bagaimana kita mahu mendabik dada tentang amalan kita?
Saidina Ali yang sudah dijamin masuk syurga pun mengeluh kerana bimbang kurang amalan sedangkan perjalanan ke syurga amat jauh. Saidina Ali memang terkenal dengan zuhud dan banyaknya melakukan amal ibadat. Bagaimana dengan diri kita?
Saidina Ali menggigil mengenangkan bekalan yang sikit untuk perjalanan akhirat yang jauh.
Oleh itu kita terpaksa mengharungi kesusahan mencari ilmu akhirat serta mengamalkannya. Kesusahan dalam hal akhirat adalah rahmat.
Dengan kesusahan ini Allah S.W.T. akan mengampun dan meninggikan darjat kita.
Dunia bukan tempat bersenang-lenang. Kesenangan hanya di akhirat. Seseorang tidak diberi pahala jika tidak bersusah-payah menempuh dugaan dan cabaran.
Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Jalan ke Syurga dikelilingi dengan kepayahan, Jalan ke Neraka pula dikelilingi dengan nafsu dan syahwat".
Oleh itu, utamakanlah kepayahan kerana itu jalan ke Syurga.
Jauhilah kesenangan berbentuk nafsu syahwat kerana itu jalan ke Neraka.