MALAIKAT MENJADI SAKSI TERHADAP SETIAP AMALAN MANUSIA




Dalam Tafsir al-Khazin tersebut sebuah Hadis sahih dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

"Ada beberapa Malaikat yang mengiringi kamu bergilir-gilir, iaitu Malaikat pada waktu malam dan Malaikat pada waktu siang. Mereka berhimpun dalam masa solat Subuh dan solat Asar. Kemudian naiklah ke langit Malaikat-malaikat yang tadinya tinggal bersama-sama kamu, lalu Allah bertanya kepada mereka sedangkan Allah lebih mengetahui tentang mereka, Kata-Nya: "Bagaimana keadaan hamba-hamba-Ku ketika kamu meninggalkan mereka?" Jawab Malaikat: "Kami pergi, mereka sedang bersolat. Dan kami datang mereka juga sedang bersolat"

Ini bermakna bahawa pada setiap hari Malaikat itu memberi laporan sebanyak dua kali tentang amalan setiap anak Adam terutama mengenai solat, adakah dikerjakannya atau pun tidak, Malaikat ada menyaksikannya.

ALLAH S.W.T. KEKAL UNTUK SELAMA-LAMANYA.



Allah S.W.T. wajib mempunyai sifat Baqa' ertinya kekal ataupun tidak berkesudahan, wujud Allah kekal untuk selama-lamanya, tidak ada batasan waktu ataupun  masa.

Orang yang beriman kepada Allah S.W.T. meyakini bahawa yang menciptanya itu terus ada , kekal untuk selama-lamanya. Ini bererti bahawa setiap makhluk akan kembali kepada Penciptanya yang tidak pernah lenyap.

Semua makhluk atau segala sesuatu yang ada di alam semesta ini bermula dari ada kemudian menuju kepada kehancuran atau mati akhirnya tiada. Begitu juga manusia pada mulanya ia lahir ke dunia akhirnya meninggal dunia. Adanya alam akan menempuh kebinasaan dan kehancuran sedangkan adanya Allah S.W.T.  kekal untuk selama-lamanya.

Setiap insan harus beriman bahawa Allah S.W.T. bersifat kekal dengan tiada berkesudahan. Begitu juga setiap insan harus percaya bahawa kehidupan makhluk akan berakhir dengan kehancuran dan akan kembali kepada Allah S.W.T. Yang Maha Kekal.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Semua yang ada di bumi itu akan binasa. Dan tetap kekal Zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan".
(Ar Rahman: 26-27).



AZAB API NERAKA UNTUK ORANG YANG MEMBUNUH SEORANG MUKMIN



Dari Abu Sa'id dan Abu Hurairah,
Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Seandainya penduduk langit dan bumi bersekongkol untuk membunuh seorang mukmin, niscaya Allah akan menelungkupkan mereka ke dalam Neraka"
(Hadis Riwayat At Tirmidzi).


Dari Ubadah bin Ash Shoomit,
Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Barangsiapa membunuh seorang mukmin lalu dia bergembira dengan pembunuhan tersebut, maka Allah tidak akan menerima amalan sunnah juga amalan wajibnya".
(Hadis Riwayat Abu Daud).