Allah S.W.T. yang dengan kemurahanNya sentiasa memberi balasan yang berganda-ganda bagi setiap amalan hambaNya. Allah S.W.T. juga telah menjadikan berbagai cara dan jalan agar hamba-hambaNya boleh menggandakan saham akhirat mereka. Oleh itu, kita selaku hamba yang dhoif lagi banyak dosa dan taqsir hendaklah sentiasa mencari-cari jalan agar amalan kebajikan kita dapat digandakan ganjarannya di akhirat nanti. Jangan hanya tahu mencari-cari jalan menggandakan saham - saham duniawi tetapi mengabaikan bekalan untuk kehidupan yang kekal abadi di akhirat. Imam as-Sayuthi RHM menjelaskan bahawa sedekah seseorang boleh digandakan ganjarannya seperti berikut:-
1.Sedekah yang diberi balasan 10 kali ganda - pemberian yang diberikan kepada orang yang sihat tubuh badannya serta tidak berhajat kepada sedekah.
2.Sedekah yang diberi balasan 90 kali ganda - pemberian yang diberikan kepada orang buta dan orang yang terkena musibah (yakni yang perlukan bantuan).
3.Sedekah yang diberi balasan 900 kali ganda - pemberian yang diberikan kepada kerabat yang berhajat.
4.Sedekah yang diberi balasan 100,000 kali ganda - pemberian yang diberikan kepada ibubapa.
5.Sedekah yang diberi balasan 900,000 kali ganda - pemberian yang diberikan kepada orang alim atau faqih.
Inilah formula untuk menggandakan pahala setiap pemberian kita. Moga dimanfaatkan, jangan hanya pemurah dengan rakan - rakan tetapi kedekut dengan ibubapa sendiri. Hari-hari belanja kawan makan, tetapi ibubapa sendiri sepuluh sen pun tak merasa titik peluh kita ....