ADAKAH KITA AKAN MATI DALAM KEADAAN BERIMAN?




Walaupun kita hidup sekarang ini dalam keadaan beriman dan mematuhi segala perintah Allah S.W.T, tetapi yang menentukan kita mati beriman atau mati kafir ialah di penghujung hidup kita, saat itulah yang dinilai oleh Allah S.W.T.

Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda:
"Demi Allah, dan tiada Tuhan yang lain daripadanya, bahawa sesungguh salah seorang kamu yang beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak ada lagi di antaranya dengan syurga kecuali sehasta sahaja lagi, mana telah terdahulu atasnya suratan (takdir) Allah, lalu ia pun beramal dengan amalan ahli neraka, maka ketika itu ia mati, maka masuklah ia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya seseorang itu beramal dengan amalan ahli neraka sehingga tidak ada di antaranya dengan neraka kecuali sejengkal, maka terdahulu atasnya takdir (ia mati dalam iman) lalu beramallah ia akan amalan ahli syurga, ketika itu ia mati, maka matinya beriman dan masuklah ia ke dalam syurga".
(Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).

Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa kita tidak boleh menentukan yang kita akan mati beriman atau mati kafir. Segala-galanya telah ditakdirkan. Cuma kita berhak mengharap rahmat dan taufiq daripada Allah S.W.T.

Inilah yang amat dikhuatiri sekali oleh orang-orang yang soleh. Setiap masa mereka merintih memohon dan mengharapkan `Rahmat' daripada Allah S.W.T.
Kerana yang menentukan dan berhak meletakkan kita sama ada di dalam neraka atau syurga atau memasukkan seseorang yang derhaka ke dalam neraka adalah harus bagi Allah S.W.T, bukan wajib bagiNya. Demikian sebaliknya.

Apa yang menjadi tugas kita, selain daripada selaku hamba Allah melaksanakan tanggungjawab dan meletakkan `harapan baik' terhadap Allah S.W.T, kita juga hendaklah selalu berdoa agar Allah S.W.T mematikan kita dalam beriman dan jangan matikan kita dalam kafir.

Nabi Muhammad S.A.W. telah mengajarkan doa yang baginda sendiri selalu berdoa dengan itu, iaitu:

"Ya Allah, akhirkanlah hayat kami (matikan kami) dalam keadaan HUSNUL KHATIMAH dan janganlah akhiri hayat kami dalam keadaan SU-UL KHATIMAH. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau sesatkan hati kami setelah engkau memberi petunjuk dan berikanlah kepada kami kurniaan RahmatMu. Sesungguhnya Engkaulah yang banyak memberi kurniaan".