KESAN SOLAT YANG MEMPUNYAI ROH



Seorang wanita daripada satu kabilah Arab telah membuat keputusan untuk memeluk Islam. Cahaya hidayat telah memenuhi ruang hatinya. Seluruh orang kampungnya telah menjadi berang. Bagi mereka, wanita ini telah menconteng arang ke kampung mereka. (memalukan mereka).

Wanita tersebut telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah. Lalu dibawa bersama anak lelakinya yang masih kecil. Setelah sampai di Madinah dan Rasulullah S.A.W. telah dimaklumkan tentang kehadirannya. Lalu Rasulullah S.A.W. telah menawarkan kepada mana-mana keluarga untuk mengambil wanita itu sebagai keluarga angkat untuk diajar dan didedahkan dengan ajaran-ajaran dan suasana Islam yang sebenar.

Selang beberapa hari, wanita muallaf itu tinggal di Madinah, terjadi satu peristiwa.
Suatu hari, anaknya sedang bermain-main dengan rakan-rakan barunya di sekitar kawasan masjid.
Sedang bermain-main, tiba-tiba anak itu telah terjatuh dan meninggal dunia.

Oleh kerana anak itu tidak dikenali ramai, maka para sahabat telah mengambil keputusan untuk menguruskan sahaja jenazah kanak-kanak tersebut. Setelah selesai dikafankan dan hendak disembahyangkan, tiba-tiba perkara ini telah sampai ke pengetahuan ibunya. Lalu ibunya dibawa kepada jenazah anaknya.

Apabila melihat jenazah anaknya, ibu tersebut terus menunaikan solat dua rakaat lalu berdoa:

"Ya Allah, Sesungguhnya aku mencintaiMu. Engkau mengetahui bahawa aku memeluk agamaMu. Kaumku telah mencercaku dan menyumpahku serta antara sumpahan mereka ialah mereka mengatakan bahawa anakku akan mati kerana aku telah meninggalkan agama nenek moyangku. Oleh itu wahai Allah!, Kau hidupkanlah kembali anakku ini agar ia tidak menjadi fitnah kepada agamaMu."

Selesai sahaja doanya itu, tiba-tiba kaki anaknya kelihatan bergerak-gerak dan anaknya mula hidup kembali.
ALLAHU AKBAR!

Inilah yang dikatakan Kudratullah dan kesan daripada solat yang mempunyai roh dan hakikat.
Keimanan yang tulin dan solat yang mempunyai hakikat khusyuk, mampu menggerakkan nizaamul-ghaib (peraturan ghaib) Allah S.W.T.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Dan minta tolonglah kamu (kepada Tuhan) dengan kesabaran dan (mengerjakan) solat dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang tunduk (kepada Allah).
(Al-Baqarah, ayat 45).