SOLAT PARA SAHABAT YANG MASYHUR



Mujahid menceritakan mengenai solat Abu Bakar as-siddiq dan Abdullah bin Zubair,
beliau berkata;
"Mereka berdiri tegak tanpa bergerak seolah-olah mereka telah terpaku ke bumi".

Para ulama semuanya berpendapat bahawa Abdullah bin Zubair telah belajar bersolat daripada Abu bakar as-siddiq. Manakala Abu bakar pula mempelajarinya daripada Rasulullah S.A.W.

Mengikut ceritanya, Abdullah bin Zubair apabila dia bersujud, sujudnya itu terlalu panjang sehingga burung-burung dapat bertenggek di atas badannya. Kadang-kadang dia rukuk dan bersujud sepanjang malam. Pada suatu masa dia telah diserang oleh musuh. Akibat serangan itu, tembok masjid telah pecah dan serpihannya telah terkena lehernya. Pada ketika itu dia sedang bersolat. Dia teruskan juga solatnya tanpa sebarang perasaan takut.

Pada suatu masa pula, ketika dia sedang mengerjakan solat sedangkan anaknya masih tidur berdekatan dengannya. Tiba-tiba seekor ular jatuh dari atas bumbung lalu membelit-belit anaknya yang sedang tidur itu. Budak itu terpekik-pekik ketakutan. seisi rumah berlari-lari untuk mendapatkan budak itu. Merekalah yang membunuh ular itu. Tetapi Abdullah kelihatan tenang mengerjakan solat.

Setelah selesai bersolat, dia pun bertanya;
"Apa yang kamu hebohkan semasa aku bersolat tadi?".
Isterinya menjawab; "Semoga kamu dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T.,budak itu nyaris-nyaris mati dan kamu tidak menghiraukannya".
Maka Abdullah menjawab; "Apa akan terjadi kepada solatku kalau aku memberi perhatian terhadapnya".

Umar r.a. telah ditikam oleh musuh. Badannya berdarah dan terkadang-kadang dia pengsan selama beberapa ketika. Tetapi apabila diberitahu tentang tibanya waktu bersolat, dia pun bangun lalu mengerjakan solat.
Umar r.a. berkata;
"Tidak ada tempat dalam Islam bagi orang yang meninggalkan solat"
Akhirnya beliau meninggal dunia akibat kesan tikaman dibadannya.

Apabila tiba waktu solat, Ali r.a. akan menggeletar dan wajahnya menjadi pucat. Telah bertanya seorang hamba Allah tentang sebab-sebabnya ia berperasaan demikian.

Maka Ali r.a. menjawab;
"Telah tibalah masanya untuk saya tunaikan amanah yang telah dipersimpankan kepada saya oleh Allah dan yang enggan diterima oleh langit, Bumi dan bukit-bukau".