BERSEDIAKAH ANDA UNTUK MENGHADAPI KESENGSARAAN DI PADANG MAHSYAR?



Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Tujuh golongan yang akan bernaung di bawah naungan Allah S.W.T. pada hari tiada naungan melainkan naunganNya, (di antaranya) seorang lelaki yang hatinya sentiasa ingatkan masjid".
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Dapatkan anda bayangkan keadaan manusia di Padang Mahsyar nanti?
Setiap daripada kita akan cuba mencari perlindungan bagi menyelamatkan diri dari panas terik matahari dan dari keadaan yang sungguh menakutkan itu, lebih-lebih lagi kehidupan manusia di Padang Mahsyar nanti dihitung amalan mereka mengambil masa ratusan tahun dan mungkin ribuan tahun.

Tetapi dengan berbekalkan "hati yang sentiasa ingatkan masjid", maka akan diberikan perlindungan yang bukan datangnya dari makhluk atau Malaikat, tetapi langsung dari Allah S.W.T, Tuhan sekelian alam, iaitu dilindungi dari panas terik dan ketakutan pada hari itu.

Soalnya sekarang ialah bagaimana untuk mengetahui bahawa hati kita memang sentiasa ingatkan masjid?

Di antara tanda-tandanya ialah sentiasa solat berjemaah di masjid dan merasa rindu jika tidak menjejakkan kaki ke masjid dalam sehari.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"........Dan apabila seseorang masuk ke masjid, maka dia di dalam keadaan bersolat selagi solatnya itu menyebabkannya menunggu, dan para Malaikat berselawat (berdoa) ke atasnya selama dia di tempat solatnya: "Ya Allah ampunkanlah dosanya, Ya Allah rahmatilah baginya" selagi dianya tidak berhadas".
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Ini satu lagi kelebihan besar bagi mereka yang menunggu untuk solat berjemaah di masjid, dengan hanya duduk menunggu untuk bersolat, Allah S.W.T. memberikannya pahala sama seperti orang yang bersolat, bahkan mendapat doa dan selawat dari para Malaikat.