Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah- olah ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap gelita) dari malam yang gelap gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya".
(Surah Yunus: ayat 27).
Bagi orang yang berbuat maksiat sepanjang hidupnya di dunia, apabila dia bangkit dari kubur kelak, dia akan bangkit dalam keadaan yang sangat hina. Walaupun di dunia dia di sanjung tinggi, dia dihormati, ditabik hormat dan dicium tangannya, tetapi di akhirat kelak dengan sebab kejahatannya itu, orang tidak lagi akan ambil kisah kepadanya.
Dia pula akan tersasar jauh daripada belas kasihan Allah S.W.T.
Walaupun wajahnya mungkin pernah berseri selama dia hidup di dunia; begitu tampan dan bergaya sekali; namun akan kelihatan penuh kehinaan. Dalam keadaan serba hodoh itu, dia akan dihimpit azab seksa daripada-Nya yang selama-lamanya.
Kita hendak menemui siapa apabila bangkit dari kubur kelak?
Jika di dunia, sekirannya kita tidak ada wang, kita boleh bertemu dengan orang itu dan orang ini bagi mendapatkan pertolongan. Kita boleh membuat pinjaman ataupun membuat gadaian. Tetapi di akhirat kelak, kita hendak bertemu siapa? Hendak mendapatkan pertolongan dari siapa?
Tidak ada sesiapapun di Padang Mahsyar kelak yang boleh menolong kita melainkan Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. sahaja. Hanya baginda Rasulullah S.A.W. sahaja yang boleh membantu umatnya. Itupun dengan syafaat yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepadanya.
Kita tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya Allah S.W.T. awal-awal lagi sudah mengingatkan kita bahawa di akhirat kelak kita tidak dibenarkan menemui-Nya. Kita tetap akan dikenakan azab. Di dunia ini, sekiranya terdesak kita boleh merasuah polis, lari ke negara jiran bagi mengelakkan daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang. Begitulah hakikat kehidupan di dunia. Masih ada ruang untuk bertolak-ansur atau berdalih.
Hal seperti ini tidak akan berlaku di akhirat. Sesiapa yang baik amalannya, mereka akan diberikan ganjaran syurga. Sesiapa yang berdosa akan diberikan balasan neraka, setimpal dengan perbuatannya ketika di dunia. Sesiapa yang bertaubat di atas setiap kesalahan yang dilakukannya sebelum ajal menjemputnya, dosanya akan diampunkan oleh Allah S.W.T.
Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun akan
tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri".
(Surah Yunus: ayat 44).