Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: "Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun hartabenda”. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang di zalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Allah S.W.T akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah S.W.T campakkan dia ke dalam neraka.”(Riwayat Muslim).
Kalau orang menuduh kita dalam sesuatu perkara yang kita tidak terlibat, janganlah membalas tuduhannya, (walaupun kita mengetahui yang dia yang sebetulnya terlibat) kerana dia yang akan menanggung dosa.
Rasulullah s.a.w. bersabda “Kamu harus bertaqwa kepada Allah, jika seseorang mencelamu dengan sesuatu yang diketahuinya ada pada diri maka janganlah kamu membalas mencelanya dengan sesuatu yang ada pada dirinya, nescaya dosanya kembali kepadanya dan pahalanya untuk kamu, dan janganlah kamu mencela sesuatu.” (HR Ahmad dan Thabrani)
Jikalau telah melakukan penganiayaan atau kezaliman, selesaikan dahulu semasa di dunia ini agar tidak muflis di sana.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda: “Sesiapa yang menanggung sesuatu kezaliman yang dilakukan terhadap orang lain, sama ada yang mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara yang lain, maka dari sekarang juga hendaklah ia meminta orang itu melepaskannya dengan jalan memaafkan atau menghalalkannya sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya;bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal salih, akan diambil daripada amalnya itu sekadar perbuatan aniaya yang dilakukannya untuk diberi kepada orang itu; kalau ia pula tidak mempunyai amal salih, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya."
Di padang masyar (akhirat), Mulut manusia ditutup kerana mulut boleh memutar belitkan sesuatu. Di dunia hakim buat keputusan mengikut percakapan mulut manusia, tanpa mengetahui yang batin. Di akhirat, manusia dibicarakan dihadapan Allah S.W.T. yang mengetahui segalanya zahir dan batin. Namun Allah S.W.T. tetap mengadakan perbicaraan sebagai pengajaran kepada manusiaAllah S.W.T berfirman, "Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan". Yassin [65]
Setiap Manusia di sertai 2 malaikat
"Dan (setelah itu) datanglah tiap-tiap orang (ke Padang Mahsyar), disertai (dua malaikat: Yang satu menjadi) pembawa dan (yang satu lagi menjadi) saksi" Qaf [21]
Sabda Rasulullah S.A.W: "Di hari akhirat manusia lemah seperti anak kambing dan perlu dipapah. Allah hantar malaikat untuk membawa manusia ke padang mahsyar."
Bumi turut menjadi saksi
"Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya" Zalzalah [4]
Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda:
“Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari qiamat mengenainya ialah sembahyangnya, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah dia".
Kiranya terkurang dari sembahyang fardunya sesuatu, Tuhan berfirman: “Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain.”
Dalam hadith yang lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang sedang sembahyang sedang munajat kepada Tuhannya maka hendaklah kamu perhatikan apakah yang dimunajatkannya dan janganlah kamu menguatkan suara dengan membaca al-Quran. (diriwayatkan oleh Imam Ahmad)
Sembahyang ialah ‘munajat’ atau ‘hubungan peribadi’ (personal contact dengan Allah), yang wajibnya ialah 5 waktu sehari semalam. Nabi Musa perlu ke Bukit Thur untuk bermunajat kepada Allah. Umat Nabi Muhammad s.a.w. tidak perlu ke mana-mana kerana mereka boleh sembahyang di mana sahaja, walaupun di rumah masing-masing untuk bermunajat kepada Allah. Namun sembahyang berjemaah di Masjid atau Surau diberikan pahala gandaan tempat dan juga pahala melangkahkan kaki ke sana.
Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w bersabda “Apabila kamu sembahyang anggaplah sembahyang ini sembahyang perpisahan” iaitu sembahyang yang terakhir sepertimana orang melakukan tawaf wada’ (tawaf perpisahan). Maka lakukanlah ia sebaik mungkin kerana selepas ini mungkin tiada lagi peluang untuk sembahyang.