Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda:
“Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari qiamat mengenainya ialah sembahyangnya, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah dia".
Kiranya terkurang dari sembahyang fardunya sesuatu, Tuhan berfirman: “Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain.”
Dalam hadith yang lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang sedang sembahyang sedang munajat kepada Tuhannya maka hendaklah kamu perhatikan apakah yang dimunajatkannya dan janganlah kamu menguatkan suara dengan membaca al-Quran. (diriwayatkan oleh Imam Ahmad)
Sembahyang ialah ‘munajat’ atau ‘hubungan peribadi’ (personal contact dengan Allah), yang wajibnya ialah 5 waktu sehari semalam. Nabi Musa perlu ke Bukit Thur untuk bermunajat kepada Allah. Umat Nabi Muhammad s.a.w. tidak perlu ke mana-mana kerana mereka boleh sembahyang di mana sahaja, walaupun di rumah masing-masing untuk bermunajat kepada Allah. Namun sembahyang berjemaah di Masjid atau Surau diberikan pahala gandaan tempat dan juga pahala melangkahkan kaki ke sana.
Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w bersabda “Apabila kamu sembahyang anggaplah sembahyang ini sembahyang perpisahan” iaitu sembahyang yang terakhir sepertimana orang melakukan tawaf wada’ (tawaf perpisahan). Maka lakukanlah ia sebaik mungkin kerana selepas ini mungkin tiada lagi peluang untuk sembahyang.