“Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya saja-saja (sia-sia tanpa ada sesuatu hikmah pada penciptaan itu?) dan kamu (menyangka pula) kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu'minun, 115).
SIAPAKAH ORANG YANG MUFLIS DI AKHIRAT?
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?”
Para sahabat menjawab: "Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun hartabenda”.
Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang di zalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Allah S.W.T akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah S.W.T campakkan dia ke dalam neraka.”(Riwayat Muslim).
Kalau orang menuduh kita dalam sesuatu perkara yang kita tidak terlibat, janganlah membalas tuduhannya, (walaupun kita mengetahui yang dia yang sebetulnya terlibat) kerana dia yang akan menanggung dosa.
Rasulullah s.a.w. bersabda “Kamu harus bertaqwa kepada Allah, jika seseorang mencelamu dengan sesuatu yang diketahuinya ada pada diri maka janganlah kamu membalas mencelanya dengan sesuatu yang ada pada dirinya, nescaya dosanya kembali kepadanya dan pahalanya untuk kamu, dan janganlah kamu mencela sesuatu.” (HR Ahmad dan Thabrani)
Jikalau telah melakukan penganiayaan atau kezaliman, selesaikan dahulu semasa di dunia ini agar tidak muflis di sana.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda: “Sesiapa yang menanggung sesuatu kezaliman yang dilakukan terhadap orang lain, sama ada yang mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara yang lain, maka dari sekarang juga hendaklah ia meminta orang itu melepaskannya dengan jalan memaafkan atau menghalalkannya sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya;bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal salih, akan diambil daripada amalnya itu sekadar perbuatan aniaya yang dilakukannya untuk diberi kepada orang itu; kalau ia pula tidak mempunyai amal salih, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya."