ADAKAH KITA AKAN TERSELAMAT DI PERSINGGAHAN YANG PERTAMA?



Dalam riwayat Ibn Majah menyebutkan bahawa apabila Sayyidina Uthman r.a. berhenti di atas kubur maka dia menangis sehingga basah janggutnya. Lalu orang berkata kepadanya:

"Apabila engkau menyebutkan syurga dan neraka, engkau tidak menangis, tetapi engkau menangis kerana kubur ini".

Sayyidina Uthman r.a. berkata: 
"Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Sesungguhnya kubur adalah persinggahan pertama daripada persinggahan-persinggahan akhirat. Jika seseorang terselamat daripadanya, maka yang selepasnya adalah lebih mudah, tetapi jika tidak terselamat daripadanya maka yang selepasnya adalah lebih buruk daripadanya".


APABILA MATA MELIHAT SESUATU YANG TIDAK PERNAH DILIHAT OLEH MANUSIA......



Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah bersumber daripada Abu Musa, katanya:

"Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W, bilakah terputusnya seseorang manusia daripada mengetahui akan orang yang sekitarnya?"

Lalu Rasulullah S.A.W. bersabda: "Apabila dia melihat akan yang tertentu".

Para ulama menghuraikan maksud "melihat akan yang tertentu" itu ialah melihat Malaikat Maut atau malaikat-malaikat yang lain.

Inilah saatnya yang mana peluang untuk beramal dan bertaubat sudah terputus daripada seseorang. Saat ini disebut dengan istilah ghargharah iaitu tatkala roh seseorang telah sampai ke halkum.

Maka pada ketika ini manusia akan nampak sesuatu yang tidak pernah dilihat dengan pandangan kasar sepanjang hidupnya. Manusia akan melihat bakal untung nasibnya sama ada hal-hal yang menggembirakan atau sebaliknya, iaitu kenikmatan atau pun azab yang disediakan untuknya.

Apabila sampai ke tahap ini, taubat dan penyesalan tidak berguna lagi. Dengan ini, dapatlah diketahui bahawa pintu taubat itu sentiasa terbuka kepada seseorang sepanjang hayatnya, dan apabila tersingkap kepadanya hal-hal yang ghaib (iaitu di saat nyawa sampai ke halkum) maka pintu taubat pun ditutup.

Dalam sesetengah hadith ada menyebutkan bahawa syaitan telah berkata:
"Demi kebesaran dan ketinggian-Mu, aku tidak akan berpisah daripada anak Adam selagi rohnya ada pada jasadnya".

Lalu Allah S.W.T. berfirman:
"Demi Ketinggian dan Kebesaran-Ku, Aku tidak akan menghalang taubat anak Adam selagi belum sampai ke tahap ghargharah (nyawa sampai ke halkum)".

Seharusnya kita mengambil iktibar daripada apa yang disebutkan agar segera bertaubat daripada dosa dan kesalahan yang telah kita lakukan. Bertaubatlah dengan sebenar-benarnya, bukan hanya sekadar lafaz istighfar di bibir mulut tanpa disertai dengan penyesalan dan keikhlasan mengharapkan pengampunan Allah S.W.T.

(Sumber: Misteri alam kubur tulisan Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fatani).

DAHSYATNYA MINUMAN AHLI NERAKA.



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud) :
" Jika mereka minta tolong (minta air), diberi air seperti kotoran minyak yang membakar muka. (Itulah) sejahat-jahat minuman"
(Surah al-Kahfi: 29).

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Seperti kotoran minyak, dan ketika didekatkan ke muka, menggelupas kulit muka dan rambutnya".

At-Tarmizi berkata:
"Minuman hamim (panas) itu dituangkan pada kepala mereka, masuk ke dalam perut, hingga isinya hancur meleleh melalui kedua telapak kakinya, dan kembali lagi seperti sediakala".

Ad-Dahak mengatakan:
"Minuman hamim itu dipanaskan sejak Allah S.W.T. menciptakan langit dan bumi sampai di hari mereka meminumnya dan dituangkan pada kepala mereka".

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud) :
".....dan mereka diberi minuman dengan air yang sangat panas, sehingga putus usus perut mereka".
(Surah Muhammad: 15).

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud) :
".....dan diberi minum dengan air nanah, Diteguknya air itu, tetapi hampir tiada mudah menelannya......".
(Surah Ibrahim: 16 - 17).

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud) :
"......dan tidak pula mendapatkan akan minuman. Kecuali minuman yang sangat panas dan nanah yang mengalir".
(Surah an-Naba: 24 - 25).

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud) :
"Inilah air yang panas dan nanah yang mengalir, maka hendaklah mereka merasainya (meminumnya)".
(Surah Shad : 57).