APABILA MATA MELIHAT SESUATU YANG TIDAK PERNAH DILIHAT OLEH MANUSIA......



Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah bersumber daripada Abu Musa, katanya:

"Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W, bilakah terputusnya seseorang manusia daripada mengetahui akan orang yang sekitarnya?"

Lalu Rasulullah S.A.W. bersabda: "Apabila dia melihat akan yang tertentu".

Para ulama menghuraikan maksud "melihat akan yang tertentu" itu ialah melihat Malaikat Maut atau malaikat-malaikat yang lain.

Inilah saatnya yang mana peluang untuk beramal dan bertaubat sudah terputus daripada seseorang. Saat ini disebut dengan istilah ghargharah iaitu tatkala roh seseorang telah sampai ke halkum.

Maka pada ketika ini manusia akan nampak sesuatu yang tidak pernah dilihat dengan pandangan kasar sepanjang hidupnya. Manusia akan melihat bakal untung nasibnya sama ada hal-hal yang menggembirakan atau sebaliknya, iaitu kenikmatan atau pun azab yang disediakan untuknya.

Apabila sampai ke tahap ini, taubat dan penyesalan tidak berguna lagi. Dengan ini, dapatlah diketahui bahawa pintu taubat itu sentiasa terbuka kepada seseorang sepanjang hayatnya, dan apabila tersingkap kepadanya hal-hal yang ghaib (iaitu di saat nyawa sampai ke halkum) maka pintu taubat pun ditutup.

Dalam sesetengah hadith ada menyebutkan bahawa syaitan telah berkata:
"Demi kebesaran dan ketinggian-Mu, aku tidak akan berpisah daripada anak Adam selagi rohnya ada pada jasadnya".

Lalu Allah S.W.T. berfirman:
"Demi Ketinggian dan Kebesaran-Ku, Aku tidak akan menghalang taubat anak Adam selagi belum sampai ke tahap ghargharah (nyawa sampai ke halkum)".

Seharusnya kita mengambil iktibar daripada apa yang disebutkan agar segera bertaubat daripada dosa dan kesalahan yang telah kita lakukan. Bertaubatlah dengan sebenar-benarnya, bukan hanya sekadar lafaz istighfar di bibir mulut tanpa disertai dengan penyesalan dan keikhlasan mengharapkan pengampunan Allah S.W.T.

(Sumber: Misteri alam kubur tulisan Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fatani).