SELAMAT DATANG KE ALAM BARZAKH



Yang dimaksudkan dengan Barzakh dari sudut bahasa ialah dinding yang membatasi antara dua tempat. Pengertiannya dari sudut syarak ialah dinding yang membatasi antara dunia dan akhirat. 

Alam Barzakh mempunyai zaman, tempat dan keadaannya yang tersendiri. Zamannya adalah bermula dari saat kematian seseorang sehingga hari kiamat.

Tempatnya adalah dari kubur hingga ke syurga untuk roh yang berbahagia, dan hingga ke neraka untuk roh yang jahat. Keadaannya adalah segala roh yang ada  padanya.

Ibn a- Qayyim berkata:
"Bagi jiwa setiap orang ada empat negeri yang didiaminya yang mana setiap negeri yang terkemudian lebih besar daripada yang sebelumnya.

Pertama: Negeri dalam perut ibunya. Perut ibu adalah tempat yang amat sempit, gundah gulana dan penuh dengan kegelapan.

Kedua: Negeri alam dunia tempat manusia dilahirkan dan melakukan segala kerja buat yang meliputi amal kebaikan dan kejahatan.

Ketiga: Negeri alam Barzakh, iaitu negeri yang lebih luas daripada alam dunia. Bandingannya dengan alam dunia samalah seperti bandingan dunia dengan perut ibu.

Keempat: Negeri yang tiada lagi negeri sesudahnya, iaitu Dar al-Qarar (negeri yang tetap) iaitu syurga atau neraka. Hal keadaan di negeri ini tidak sama jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang disebutkan sebelum ini.