MANUSIA BENAR-BENAR BERADA DALAM KERUGIAN


Allah S.W.T berfirman (yang bermaksud):
”Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal sholih dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran”
(Surah: Al ‘Ashr).

Kalau kita tahu waktu itu tidak ternilai harganya, mengapa kita selalu membazir masa dengan perkara yang sia-sia?. Sedangkan sesaat masa itupun mempunyai makna yang amat besar nilainya kepada kita.

Ramai manusia melihat waktu sebagai satu putaran biasa tanpa merasa kerugian atas kehilangannya. Betapa ruginya kita melepaskan masa berlalu tanpa memanfaatkannya dengan sesuatu yang menguntungkan kita di hari akhirat.

Adakah kita terlalu yakin bahawa kita akan hidup sehingga esok?

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”
(Surah al-A'raf : ayat 34)


TIDAK BERSOLAT TETAPI KAYA RAYA DAN BERPANGKAT


Orang itu tidak solat, tetapi dia masih cemerlang dalam pelajaran.
Orang itu tidak solat dan sentiasa membuat maksiat, tetapi dia mempunyai pekerjaan yang baik.
Orang itu tidak solat, tetapi mempunyai rumah yang besar macam istana.
Orang itu tidak solat, tetapi selalu minum arak dan kaya raya.
Orang itu tidak solat, tetapi selalu berzina dan mempunyai kereta yang mewah.

Maka ketahuilah bahawa semua itu adalah “ISTIDRAJ”


“ISTIDRAJ” adalah harta atau pemberian yang tidak diredhai oleh Allah S.W.T. untuk menyesatkan lagi mereka………


Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah la tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya.”
(Faatir: ayat 45)


HANYA ISLAM MERUPAKAN AGAMA YANG DIREDHAI OLEH ALLAH S.W.T.



Tiada keraguan lagi bahawa  hanya agama Islam yang merupakan agama paling sesuai untuk setiap manusia, kerana ia merupakan satu-satunya agama yang diredhai serta diterima di sisi Allah S.W.T.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.”
(Surah A-li'Imraan: ayat 19)

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”
(Surah A-li'Imraan: ayat 85)

Namun ironinya, satu-satunya agama yang diredhai Allah S.W.T. ini begitu tidak disenangi oleh ramai manusia, malah mereka turut membenci dan memeranginya.

Kemungkinan perkara ini berlaku disebabkan mereka tidak benar-benar mengenali Islam. Jika seseorang itu benar-benar mengenali Islam, dia pasti akan sanggup berkorban apa saja kerananya.

Keistimewaan seorang muslim ini adalah dia memahami hakikat sebenar tentang dirinya. Dia tahu dari mana dia datang, mengapa dia berada di sini dan apa misi dan tujuan kewujudannya serta ke mana dia akan pergi selepas kehidupan ini dan apa kesudahan yang bakal menantinya.

Dia tahu dia harus membuat pilihan yang terbaik dalam kehidupan ini dan dia juga tahu bagaimanakah caranya untuk dia mencapai matlamat yang dipilihnya itu.
Paling penting adalah dia menyedari bahawa dia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pilihan itu. 

Dia adalah insan yang “sedar” akan realiti dirinya, yang mempunyai fahaman yang jelas dan pendirian yang tegas serta dia yakin sepenuhnya terhadap prinsip hidupnya.

Dia tidak pernah kebingungan atau keliru dan tidak akan mudah goyang di hadapan sebarang cabaran yang dihadapinya.