MATA adalah satu pancaindera yang terpenting. Menerusi mata kita dapat melihat dan menatap segala kejadian alam. Bagaimanapun, mata juga adalah pintu pertama dimasuki syaitan.
Sebesar-besar tujuan dijadikan mata ialah untuk merenung kejadian alam semesta ini (tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T). Alam terbentang ini yang ditatap oleh mata setiap hari adalah untuk memberi fikiran kepada manusia.
Rasulullah S.A.W. bersabda: "Melihat kecantikan perempuan itu adalah panah beracun daripada panah-panah iblis. Siapa yang dapat mengawasi matanya, maka Allah S.W.T. akan memberikannya merasa satu kenikmatan ibadat yang membahagiakannya."
Manakala Imam Ghazali berkata: "Nasihatkanlah kepada orang mukmin supaya mengawasi pandangan mata mereka."
Satu perintah yang ditujukan untuk kebaikan orang mukmin itu kerana apabila melihat sesuatu yang diharamkan itu ia boleh melalaikan hati daripada mengingati Allah S.W.T. dan membangkitkan hawa nafsu.
Menurut Imam Bukhari dengan mengawasi mata daripada memandang perkara haram ia dapat menyuburkan hati untuk melakukan ketaatan kepada Allah S.W.T.
Orang yang beriman sentiasa menjaga dan mengawal matanya daripada melihat benda-benda haram.
Satu kebaikan orang yang berjaya mengawasi matanya ialah dapat menikmati kerehatan jiwa kerana terselamat daripada rayuan dan kepesonaan yang mengganggu hatinya.
Sejajar dengan ini, Nabi Isa A.S. pernah bersabda: "Awasilah pandangan dan penglihatan kamu kerana pandangan itu boleh memercikkan nafsu keinginan dan ini cukup membuatkan seseorang itu terpesona."
Usaha untuk menyemarakkan pucuk iman bukanlah kerja yang mudah, tetapi orang mukmin boleh mencubanya secara berperingkat. Sebenarnya, di sebalik menanam benih iman, manusia mukmin sentiasa berhadapan dengan pelbagai ujian dan godaan. Sesungguhnya ujian itu satu percubaan daripada Allah S.W.T. ke atas hamba-Nya.
Allah S.W.T. berfirman: "Allah mengetahui pandangan mata yang tidak jujur dan apa yang disembunyikan di dalam dadanya." (Surah Mukmin: 19).
Sekiranya orang mukmin dapat menahan mata daripada memandang sesuatu yang diharamkan, ia semacam membangkitkan satu kenikmatan rohaniah yang cukup tinggi (tidak dapat digambarkan dengan kata-kata). Itulah hikmah yang ditiupkan oleh Allah S.W.T. kepada hamba-Nya yang beriman.