ALLAH S.W.T ADALAH MAHA PEMURAH DAN LAGI MAHA PENGASIHANI


Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya Allah telah menulis di dalam Ummul Kitab (Loh Mahfuz) sebelum dia menciptakan langit dan bumi iaitu “Sesungguhnya Akulah Yang Maha Pemurah, Akulah yang menciptakan rahim (persaudaraan), dan aku pecahkan daripada nama-Ku, sesiapa yang menyambungnya maka Aku menyambung orang itu dan sesiapa yang memutuskannya maka Aku putuskan dia.” (Riwayat Thabrani melalui Jabir)

Dalam hadith yang lain Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah telah menulis takdir sekelian makhluk sebelum ia mencipta langit dan bumi selama 50,000 tahun. (Muslim)

Allah S.W.T itu bersifat Ar-Rahman iaitu maha pemurah. Allah S.W.T juga bersifat Ar-Rahim iaitu maha Pengasihani. Dia jugalah yang menciptakan rahim ibu. Malaikat juga melaporkan kepada Allah apabila air benih berada di dalam rahim.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menugaskan satu Malaikat berhubung dengan peringkat-peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim ibunya dan keadaan-keadaan yang akan dilalui dan didapatinya; apabila air benih itu jatuh ke dalam rahim, Malaikat bertanya: “Ya Tuhanku! Air benih ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? – Ya Tuhanku! Darah seketul ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? – Ya Tuhanku! Daging segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Maka apabila Allah hendak sempurnakan jadinya seorang anak, Malaikat bertanya lagi: “Ya Tuhanku! Adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau (yang bernasib) bahagia? Lelakikah ia atau perempuan? Bagaimana pula keadaan rezekinya dan ajalnya?” (setelah Malaikat mendapat jawabnya) maka ia menulis sebagaimana yang telah diperintahkan sedang anak itu dalam perut ibunya.” (Anas r.a)

Oleh kerana Allah S.W.T bersifat Ar-Rahim, maha pengasihani maka dia juga menyukai orang yang bersifat pengasih. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang pengasih akan dikasihi Zat yang Maha Pengasih, kasihilah yang di bumi, maka yang di langit (Malaikat) akan mengasihimu.”(HR. Tirmidzi)