Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Pemurah, Dia menyukai orang yang pemurah, dan Dia menyukai ketinggian akhlak (budi pekerti) dan tidak suka kepada akhlak yang rendah.” (Riwayat Naim melalui Ibnu Abbas r.a.)
Sifat Pemurah
Allah itu sifatnya pemurah. Dia menyukai orang yang bersifat pemurah.
Dalam sebuah hadith daripada Sayyidina r.a. Usman disebut mana-mana 99 nama Allah, sekiranya diamalkan 1 pun daripadanya, maka masuk syurgalah (balasannya).
Rasulullah s.a.w. juga bersabda “Sakhi (Murah hati) adalah pohon yang tumbuh di syurga, Oleh kerana itu tidak akan masuk syurga kecuali orang yang murah hati. Dan bakhil adalah pohon yang tumbuh di neraka. Oleh kerana itu, tidak akan masuk neraka kecuali orang bakhil.”
“Sifat bakhil adalah pokok yang ada di neraka yang dahan berserta cabangnya menjulur sampai ke dunia. Sesiapa yang bergantung dengan salah satu dahannya, maka dia akan ditarik ke neraka. “Demikian pula kemurahan hati adalah pokok yang ada di dalam syurga yang dahan dan cabangnya menjulur sampai ke dunia. Sesiapa yang bergantung dengan salah satu dahannya, maka dia akan ditarik ke dalam syurga, kerana syurga adalah rumah bagi para pemurah.”
Seorang pemurah hati dekat kepada Allah, dekat kepada manusia dan dekat kepada syurga. Seorang yang bakhil itu pula jauh daripada Allah, jauh daripada manusia dan jauh dari syurga tetapi dekat dengan neraka.
Namun berpada-padalah dalam memberi:
Allah S.W.T. berfirman: "Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu." (Furqan [67])
Allah S.W.T berfirman : "… dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau."(Israa [26])
Akhlak Mulia
Dari Abu Al-Darda’ r.a., bahawa Nabi s.a.w., bersabda: “Tidak ada sesuatu pun yang ditimbang pada hari Kiamat yang lebih berat daripada akhlak dan budi pekerti yang baik. ” (Riwayat Abu Daud & Tirmizi).
Akhlak adalah sesuatu yang abstrak (tidak boleh dipegang), yang tidak boleh ditimbang secara zahirnya. Namun Allah boleh menimbang perkara yang abstrak, misalnya amalan puasa dan sembahyang. Hanya Allah yang boleh menimbang dan menilai berat pahala amalan-amalan tersebut.
Orang yang berakhlak rendah adalah mereka yang tidak malu kepada Allah. Mereka ini berperibadi rendah.