IBLIS TELAH BERSUMPAH UNTUK MENYESATKAN MANUSIA


Allah S.W.T berfirman : "Dan sesungguhnya Iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu mereka menurutnya, kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya kepada hasutannya)". (Saba: 20)

Benar sangkaan Iblis bahawa ramai daripada manusia yang akan mengikutinya, iaitu mengikut pujukannya.

Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam sepertimana yang diperintahkan Allah. Maka Allah telah memberi peluang kepadanya untuk memohon keampunan daripada Allah, tetapi dia enggan dan meminta agar ditangguhkan laknat Allah (hukuman dan azab) sehingga hari kiamat nanti:

Allah S.W.T berfirman: "Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat." (Hijr:35)

"Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan (hari kiamat)." (Hijr:36)

Allah berfirman: "Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh." (Hijr:37)

"Hingga ke hari (masa) yang termaklum". (Hijr:38)

Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya," (Hijr:39)

"Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik (ikhlas)". (Hijrr:40)

Dalam ayat yang lain pula disebut:
"…Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya)". (Isra: 62)

Allah berfirman (kepada iblis): "Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya Neraka Jahanamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup". (Isra:63)

"Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka dan turut campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka) dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata". (Isra: 64)

Pujukan Iblis Syaitan dalam menyesatkan manusia adalah melalui suaranya, kaki dan tangannya. Ulama mentafsirkan suara itu adalah muzik, manakala kaki dan tangan pula adalah joget atau tarian.

"Dan sememangnya tiadalah bagi Iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta mengawasi tiap-tiap sesuatu". (Saba:21)

Pada hakikatnya Iblis Syaitan tidak berkuasa menyesatkan manusia, melainkan dengan izin Allah. Allah memberi manusia pilihan dalam menentukan dan memilih masa depan samada yang cerah atau yang gelap.

"Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)? "(Balad:10)

Iblis Syaitan juga tidak mampu menyesatkan hanba-hamba Allah yang Ikhlas. Oleh itu jadilah hamba Allah yang sejati, dunia dan akhirat.

Allah S.W.T berfirman: "Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (hai iblis) mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka)". (Isra:65)