SEGALA KESENGSARAAN ATAU KENIKMATAN DI DUNIA INI HANYALAH SEMENTARA SAHAJA




Jika selama di dunia ini anda kebuluran, jatuh miskin, sentiasa dilanda kesedihan, mengidap penyakit yang tidak kunjung sembuh, selalu mengalami kerugian atau diperlakukan secara zalim maka peringatkan diri anda pada nikmat syurga yang kekal selamanya.

Apabila anda betul-betul meyakini jalan ini dan mengamalkannya dengan benar, nescaya anda akan mampu mengubah setiap kerugian menjadi keuntungan dan setiap bencana menjadi nikmat.

Orang yang paling berakal ialah orang yang sentiasa melakukan sesuatu untuk akhirat dengan keyakinan bahawa akhirat itu lebih baik dan kekal selamanya. Sebaliknya, manusia yang paling bodoh di dunia adalah mereka yang memandang dunia ini sebagai segalanya; tempat dan matlamat akhir dari semua harapan. Justeru, tidak menghairankan kalau anda mendapati mereka paling gelisah ketika menghadapi sesuatu musibah dan juga paling mudah hanyut dalam penyesalan sewaktu malapetaka meragut semua kepunyaan mereka.

Itu semua sudah tentu disebabkan mereka hanya mementingkan tiap-tiap sesuatu yang berkaitan dengan urusan hidup dunia yang sangat singkat, fana dan tidak bernilai ini.

Pernahkah kita merenungkan secara mendalam bahawa sesungguhnya para penghuni syurga itu tidak akan sakit, tidak mungkin bersedih hati, tidak akan mati, tidak akan menjadi tua dan pakaian mereka tidak akan lusuh sedikitpun. Sungai-sungainya yang mengalir deras, istana-istananya yang indah dan megah, buah-buahannya tergantung rendah hingga mudah dipetik, mata airnya mengalir deras.

Mengapa kita sering melupakan semua itu dan tidak berbuat apa-apa untuk mencapainya?

Apabila matlamat akhir dari perjalanan seorang manusia adalah menuju ke tempat yang kekal selamaya, nescaya setiap bencana akan terasa ringan, pelbagai beban hidup akan tetap dilalui dengan hati yang tabah.

Justeru itu, wahai hamba-hamba Allah yang sedang dilanda kemiskinan, diliputi kesusahan, teruskanlah menuju kepada keredhaan Allah S.W.T.
Dengan begitu, nescaya anda akan tinggal di syurga Allah, berdekatan dengan-Nya dan sentiasa mensucikan nama-nama-Nya.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu". (Surah Ar-Ra'd: 24).