Masih dapat hidup adalah nikmat yang luar biasa. Sayangnya, jarang-jarang manusia mensyukurinya. Mereka menganggap hidup adalah nikmat yang biasa-biasa. Justeru, ramai yang tidak berterima kasih kepada Allah S.W.T kerana masih dihidupkan. Padahal Rasulullah S.A.W. telah mengajar kita supaya membaca doa ini sebaik sahaja kita bangun daripada tidur:
"Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami dan kepada-Nyalah kita akan dikembalikan." (Riwayat Ahmad dan al-Nasa'i).
Dapat bangun daripada tidur dan hidup lagi pada setiap hari wajib disyukuri. Ini kerana tidur itu hakikatnya separuh daripada kematian. Berapa ramai manusia yang tidur pada malamnya, terus tidak bangun-bangun lagi kerana ajalnya telah sampai.
Walau bagaimanapun, cara mensyukuri nikmat hidup tidak cukup sekadar membaca doa sahaja. Tetapi apa yang lebih penting adalah menggunakan nikmat hidup selaras dengan tujuan Allah menghidupkan kita.
Jadi gunakanlah hidup untuk menunaikan amanah sebagai hamba Allah S.W.T. dan khalifah di muka bumi ini.