“Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya saja-saja (sia-sia tanpa ada sesuatu hikmah pada penciptaan itu?) dan kamu (menyangka pula) kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu'minun, 115).
BERSYUKURLAH KEPADA ALLAH S.W.T. KERANA TIDAK MENCIPTAKAN KITA SEBAGAI BINATANG ATAU POKOK.
Beruntung sekali kita diciptakan oleh Allah S.W.T. sebagai manusia, bukan sebagai binatang, pokok, batu atau benda-benda jamadat lainnya.
Sungguh banyak kelebihan atau keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada manusia, diantaranya ialah diamanahkan-Nya segala makhluk dan isi bumi ini kepada manusia dan untuk kepentingan manusia.
Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam. Kami angkat mereka di daratan dan di lautan. Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas semua makhluk yang telah Kami ciptakan".
(Surah al-Isra': 70).
Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Sesungguhnya telah Kami ciptakan manusia dalam sebaik-baik bentuk".
(Surah at-Tiin: 4).
Ayat di atas menjelaskan bahawa Allah S.W.T. telah memberi kelebihan dan keistimewaan kepada manusia.
Namun kebanyakan manusia tidak mahu bersyukur dan mengabdikan diri kepada-Nya. Sedangkan tujuan penciptaan manusia oleh Allah S.W.T. adalah untuk mengabdi kepada-Nya.
Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah kepada-Ku.".
(Surah al-Dzariyat: 56).