“Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya saja-saja (sia-sia tanpa ada sesuatu hikmah pada penciptaan itu?) dan kamu (menyangka pula) kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu'minun, 115).
WAJIB SEGERA BERTAUBAT
Wahai mukmin yang dikasihi oleh Allah, jika anda pernah melakukan maksiat maka anda hendaklah segera kembali kepada Allah S.W.T. dengan bertaubat kepadaNya dari dosa itu sebelum terlambat.
Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Sesungguhnya siapa yang datang kepada Tuhannya dengan berdosa, pastilah ia akan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam, di situ ia tidak mati dan tidak hidup".
(Thaha: 74).
Jangan harap kita akan terselamat, jika kita tidak segera bertaubat dari maksiat itu, malah kita pasti menerima balasan azabNya. Sebab orang yang 'ashi atau menderhaka, dirinya sentiasa terdedah kepada azab Tuhan pada bila-bila masa saja.
Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
""Apakah orang yang merencanakan sesuatu yang buruk boleh merasa aman, bahawa Allah (tidak) akan menjadikan bumi menelan mereka, ataupun menurunkan azab ke atas diri mereka, sedang mereka tiada sedar. Ataupun Tuhan akan menyiksa ketika mereka dalam perjalanan, sedang mereka tidak dapat menolak. Ataupun Dia akan menyiksa mereka dengan beransur-ansur, kerana sesungguhnya Tuhanmu Maha Penyantun Penyayang".
(An-Nahl: 45-47).
Ya Allah! Ya Tuhan kami!
Jadikanlah kami sentiasa mengambil ingatan dari amaranMu. Mengikut jejak langkah Kitab dan RasulMu. Sentiasa berkumpul dalam ketaatanMu. Dan himpunkanlah kami bersama-sama para solihin. Turunkanlah rahmat ke atas kami, wahai Tuhan yang Maha Pemurah dan lagi Maha Penyayang.